Ahli Parlimen Machang | Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional

Perbahasan Titah Diraja Pembukaan Parlimen ke-15

Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. 

Bagi ucapan sulung saya sebagai Ahli Parlimen Machang pada hari ini saya ingin menjunjung kasih di atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sewaktu Istiadat Pembukaan Parlimen Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas ini. 

Saya ingin juga merakamkan jutaan terima kasih ke semua pengundi Machang kerana memilih saya selaku Wakil Rakyat mereka tempoh hari. 

Tuan Yang di-Pertua, semalam kita dengar banyak perbahasan yang berbunyi kualiti daripada Pengerusi Backbencher pada Ketua Pembangkang dan yang lain-lain melibatkan hala tuju negara kita yang tercinta ini. 

Antara isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Titiwangsa adalah berkenaan dengan kelembapan pertumbuhan negara. 

Saya suka ingin meneruskan penghujahan beliau dengan merujuk satu laporan yang dikeluarkan oleh PricewaterhouseCoopers yang bertajuk “The World in 2050” yang diterbitkan pada tahun 2015, yang mana laporan tersebut merujuk kepada unjuran pertumbuhan ekonomi 32 buah negara dunia yang merangkumi 84 peratus KDNK global. Sedikit gambaran untuk saya kongsikan di Dewan yang mulia ini, siapa di tangga 10 tertinggi 2050 iaitu: 

(i) China; 
(ii) India; 
(iii) Amerika Syarikat; 
(iv) Indonesia;  
(v) Brazil; 
(vi) Mexico; 
(vii) Jepun; 
(viii) Rusia; 
(ix) Nigeria; dan 
(x) Jerman. 

Jelas 30 tahun akan datang akan berlaku perubahan paksi kuasa ekonomi dunia ke timur dan Malaysia bakal menduduki tangga ke-24. Kita juga bakal dipintas oleh jiran-jiran tetangga kita. Antaranya di tangga ke-23, Bangladesh; tangga ke-22, Vietnam; tangga ke-21, Thailand; dan tangga ke-20, Filipina. 

Melihat perkembangan yang merisaukan ini, kerajaan perlu memikirkan jalan keluar, strategi yang lebih menyeluruh agar pertumbuhan ekonomi negara kita terus berdaya saing dan maju. Kita perlu seperti jalan pintas, moonshot atau leapfrogging strategy untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dan makmur. 

Izinkan saya membangkitkan tiga cadangan ataupun strategi yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan pada hari ini. Pertama, Malaysia ialah sebuah negara perdagangan. Di peringkat antarabangsa, Malaysia perlu strategi yang jelas kembara luar (“going out” strategy) untuk syarikat-syarikat GLC kita mahupun swasta. Seperti African strategy ataupun kita menumpang mana-mana strategi yang sudah dibuat oleh rakan-rakan dagang kita seperti Belt and Road Initiative agar perkongsian kekayaan ini dapat dirasai oleh Malaysia juga. 

Saya teringat pada tahun 1990-an ketika mana Yang Amat Berhormat Tambun menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bersama dengan mantan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Kita mempunyai satu strategi pelaburan luar yang agak ampuh. Kita membawa PETRONAS ke Sudan dan bekerjasama dengan mana-mana kuasa veto yang ada untuk melabur di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi. Berisiko tinggi tetapi pulangan pun tinggi juga. Jadi, bilamana kita ada perancangan yang jelas, sudah tentulah laba daripada pelaburan ini dirasai oleh rakyat Malaysia. 

Seperti mana yang dibuat oleh rakan tetangga kita Indonesia, Presiden Jokowi pada tahun 2014 mengumumkan bagaimana Indonesia mampu dan mahu menyahut strategi serantau ekonominya melalui Poros Maritim Dunia yang mana Indonesia ingin maju bersama dengan China dan strategi Belt and Road yang ada agar perdagangan yang berlaku di rantau ini juga dinikmati oleh warga Indonesia. Jadi, Malaysia juga perlu memikirkan bagaimana kita boleh meningkatkan daya saing GLC kita dan syarikat-syarikat swasta kita untuk melabur ke luar dan membawa pulangan tersebut ke dalam negara. 

Kedua, Malaysia dan kerajaan pada hari ini perlu terus mengamalkan dan juga melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-12 sehingga habis tempohnya. Hal ini demikian kerana Rancangan Malaysia Ke-12 yang sudah dimaktubkan dan dibentangkan di dalam Parlimen ini membawa aspirasi yang cukup penting untuk semua rakyat Malaysia yang ada. Ia benar-benar menitikberatkan pembangunan yang mapan dan juga pengagihan yang adil. 

Antara perkara yang dititikberatkan oleh Rancangan Malaysia Ke-12 yang mana falsafahnya adalah berdasarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang kita tahu telah dibatalkan oleh kerajaan pada hari ini dari segi penggunaan dalam surat-menyurat tetapi saya harap perkara ini tidak dibatalkan dari segi semangat dan isinya. 

Penekanan khas diberikan kepada enam buah negeri kurang membangun di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu. RMKe-12 menegaskan 50 peratus jumlah perbelanjaan pembangunan asas perlu diberikan kepada enam buah negeri ini. Alhamdulillah, Sabah dan Sarawak menikmati banyak perkara yang Kerajaan Persekutuan telah lakukan sepanjang tiga tahun kebelakangan ini. Akan tetapi kami harap, selaku Ahli Parlimen dari Kelantan, jangan menganaktirikan negeri Kelantan walaupun kami ditadbir oleh pembangkang. Ini kerana banyak projek strategik yang bersifat infra, yang menjadi pemangkin ekonomi negara dan negeri telah diluluskan dalam RMKe-12. 

Antaranya:  
(i) Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai; 
(ii) pembinaan infra kawasan industri bersepadu berasaskan IBS di 
Sungai Bagan Labok, Machang; dan 
(iii) projek-projek lain yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negeri dan negara. 

Saya juga ingin membuat sedikit penilaian kepada cadangan Yang Berhormat Subang semalam yang mana beliau mencadangkan untuk membantu mengurangkan hutang negara, kita perlu apungkan PETRONAS. Ini saya tidak setuju kerana cadangan seperti ini telah kita sering dengar sejak tahun 2008 lagi ketika mana kita apungkan Sime Darby ketika ini. Cadangan ini bukan langkah yang baik untuk mengurangkan hutang negara. 

Jangan samakan PETRONAS dengan Saudi Aramco. Yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Subang semalam, 20 peratus itu hendak dilepaskan pegangan kepada siapa? Malah PETRONAS adalah satu syarikat yang 100 peratus milik kerajaan yang bernaung di bawah Petroleum Development Act 1974. Saya akan bagi cadangan tentang bagaimana mungkin kita boleh perkasakan PETRONAS dalam perbahasan belanjawan nanti, insya-Allah. 

Ketiga, cadangan untuk kita memajukan negara tidak lain tidak bukan ialah pemberdayaan sumber manusia (human capital). Ini saya fikir satu perkara yang amat penting. Kelapa sawit, petroleum; ya komoditi membantu tetapi dari segi sumber manusia adalah lebih penting kita labur dan jadikan tunjang kepada pembangunan negara. 

Semalam, kita dikejutkan oleh jawapan daripada Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi, statistik yang agak mengejutkan. Peminjam PTPTN B40 berjumlah 1.84 juta orang. Ini bermakna anak muda kita yang baru hendak masuk kelas menengah hendak membayar cukai, tidak mampu sebenarnya membayar cukai. Lebih malang, generasi ini kalau kita ingat mereka ini terbahagi kepada dua kumpulan secara ringkasnya. 

Pertama, kumpulan yang saya istilahkan sebagai Pandemials; ini World Economic Forum keluarkan, iaitu golongan Millennials, anak muda yang lahir pada tahun 2000 yang terkesan teruk kerana COVID-19, tidak boleh pergi sekolah, tercicir dan sebagainya. Jadi golongan ini kalau kita lepaskan mereka ke pasaran terbuka, tidak adil bagi saya. Macam main golflah; tiada handicap, macam mana hendak menang dan maju? Perlu ada satu dasar khusus untuk golongan Pandemials ini. 

Kedua, golongan belia resah ataupun seperti kata Profesor Guy Standing daripada SOAS. Precariats; mereka ini golongan yang sebenarnya mempunyai ijazah atau sijil tetapi tidak mampu membangunkan diri kerana tiada identiti pekerjaan tetap. Mereka bukan tidak ada ilmu, ada tetapi mereka terpaksa ditekan dengan situasi dan sistem yang ada. 

Jadi, dua golongan ini kalau kita tidak berjaya membantu mereka dalam pelbagai bentuk dan cara, maka kita akan gagal melahirkan generasi kelas menengah yang baharu; M40 yang mampu membayar cukai kepada negara, yang mampu menanggung pelbagai perbelanjaan yang negara perlukan. 

Akan tetapi malangnya Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia, fakta yang lebih menjerut yang saya ingin kongsi ialah daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang mana dalam Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima, golongan yang saya sebutkan tadi iaitu 1.84 juta orang belia PTPTN ini, mereka ini juga tergolong sebagai generasi sandwich (sandwich generation) kerana 70 peratus warga emas tinggal dengan anak atau keluarga terdekat. Golongan inilah yang jaga emak dan bapa. 

Lapan daripada 10 warga emas dapat bantuan kewangan daripada anak-anak yang saya sebutkan tadi. Sebanyak 48 peratus anak-anak ini membantu membiaya ibu bapa mereka membayar bil dan sebanyak 67 peratus daripada mereka juga bantu ibu bapa mereka beli makanan dan barangan asas di rumah. 

Jadi Yang Berhormat, saya bukan hendak mempolitikkan PTPTN kepada Yang Berhormat Pandan. Dia tidak ada dalam ini pada hari ini, tetapi saya ingin bertanya kepada beliau, what is your strategy to help this group of people, dengan izin? Oleh sebab sepanjang karier politik beliau, memang dikenali sebagai aktivis membantu PTPTN. Jadi, itu yang kami cuba tanya, bukan kita menuduh, fitnah dan sebagainya. Jadi, saya yakin Yang Berhormat Pandan akan mampu menawarkan cadangan yang baik dan kita bersedia membantu beliau sebagai pembangkang, insya-Allah. 

Terakhir sebelum saya mengakhiri ataupun menggulung perbahasan saya, ingin juga saya menyokong penuh usaha kerajaan untuk memartabatkan TVET. TVET ini dilihat sebagai second class institution dalam pendidikan kita. Tidak sama seperti di Jerman, Fachhochschule yang ada, yang mana siapa yang belajar di Fachhochschule walaupun dia aliran vokasional, tetapi martabat dan darjatnya adalah sama dengan pendidikan universiti yang lain. 

Ini kerana di Jerman mereka ada ekosistem SME yang kuat. Mereka ada BMW, Audi, BASF dan sebagainya yang mana peluang pekerjaan anak muda yang terlibat dalam sektor fachhochschule atau TVET ini, guaranteed jobs. Akan tetapi di Malaysia, saya yakin ini masih lagi terkebelakang dan perlu diperkuatkan bukan sahaja sistem TVET itu, tetapi SME kita. Malanglah kalau banyak sangat GLC sama ada di federal dan negeri bersaing rapat dengan swasta, crowding the market. 

Macam mana SME kita ingin membangun? Jadi, saya menyeru kepada kerajaan untuk mengadakan dasar yang lebih khusus tentang ini. 
Terakhir Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya ingin menyentuh sedikit tentang falsafah madani yang digagaskan oleh Yang Amat Berhormat Tambun. 

Istilah yang digunakan adalah mengampunkan hutang PTPTN secara bersasar yang saya harap insyaAllah kalau ada peluang, dapat dilunaskan oleh kerajaan dengan baik. 

Ringkasnya Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya gulung dan yang terakhir, saya menyeru kita menyokong gagasan madani ini dengan memahami madani sepertimana yang sepatutnya difahami. Madani ini adalah satu falsafah yang benar-benar luhur dalam Islam. Ia berasal bukan dari madana sahaja, tetapi dari akar kata deen, agama. 

Jadi, saya berterima kasihlah kepada DAP kerana menyokong dasar yang benarbenar berasaskan Islam dalam kerajaan kita pada hari ini. Insya-Allah yang mana baik kita sokong, kita tidak akan menafikan sama sekali. Cuma saya ingin menegur pegawai-pegawai Yang Amat Berhormat Tambun, kalau hendak terjemah konsep madani ini secara molek, jangan gunakan buku skrip itu yang mana buku bahasa Inggeris yang asal sebab memang cukup lari dengan terjemahan bahasa Melayu. It is a good concept, but wrong kind of translation, adaptation. 

Jadi, saya mohon pembetulan ini dibuat di peringkat Jabatan Perdana Menteri agar falsafah madani ini dapat dihayati oleh semua rakyat Malaysia dengan baik, dengan betul. Jadi, dengan itu saya menjunjung kasih titah ini dan menyokong usul yang telah dibentangkan. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih. 

– Diucapkan dalam Dewan Rakyat oleh YB Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Parlimen Machang, 15 Februari 2023 –

The Unsung Statesman

  1. Saya bertuah hari ini kerana dapat meluangkan masa yang panjang dengan salah seorang pemimpin tersohor Kelantan dan BERSATU yang cukup saya hormati – YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed atau lebih dikenali sebagai Tok Pa. Bukan saja Tok Pa belanja saya roti canai dan teh tarik tapi juga ilmu, pengalaman dan panduan berharga buat saya selaku ahli parlimen muda Kelantan untuk persiapkan diri dalam perjuangan ini.

  2. Tok Pa sudah bersara daripada tanggungjawab rasmi di parlimen Jeli (tetapi masih pegang jawatan ADUN Air Lanas) baru-baru ini tetapi semangat dan kudratnya untuk membangun Jeli, Kelantan dan Malaysia masih membara.

  3. Saya teringat zaman-zaman saya mahasiswa berdialog dengan beliau dalam Malaysia Student Leaders Summit anjuran UKEC yang mana ketika itu Tok Pa adalah Menteri Pengajian Tinggi. Kini saya pula terjun dalam bidang yang Tok Pa telah berbakti puluhan tahun lamanya baik dalam parti mahupun dalam politik sebagai wakil rakyat. Sesungguhnya demi Machang, tiada yang lebih saya hajati melainkan untuk belajar daripada pemimpin-pemimpin “otai” dan “sohor” asal Kelantan seperti Tok Pa.

  4. Ada satu fakta menarik yang mungkin ramai daripada kita khususnya generasi saya tidak berapa tahu tentang karier politik Tok Pa: sebaik sahaja YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PM-10) dipecat dan digugurkan daripada Kabinet (Tun) Dr. Mahathir pada 2 September 1998, seminggu selepas itu Tok Pa telah diberi mandat oleh Tun Mahathir untuk mengepalai Kementerian Kewangan sebagai Menteri Kewangan II. Menteri Kewangan I ketika itu ialah YAB Tun Mahathir sendiri yang mana beliau juga adalah Menteri Dalam Negeri.

  5. Tok Pa ketika itu turut sama memikul jawatan Menteri Usahawan. Ini bermakna rombakan kabinet pasca pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim oleh Tun Mahathir itu meletakkan Tok Pa – selain Tun Mahathir – sebagai satu-satunya Menteri yang memegang dua jawatan kementerian.

  6. Ketika kemuncak krisis kewangan dan politik negara 1998 tersebut kita sering dengar nama-nama seperti Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang terlibat menyelesaikan krisis seperti yang dirakam dalam buku “Notes to the Prime Minister: The Untold Story of How Malaysia Beat the Currency Speculators” tulisan Wong Sulong dan juga seorang lagi tokoh yang sinonim dengan krisis 1998 iaitu Daim Zainuddin – tetapi sebenarnya antara watak utama yang berkerja keras sepanjang krisis itu adalah Tok Pa. 
  7. Ini kerana Tun Mahathir selaku Menteri Kewangan I (dan Menteri Dalam Negeri) terlampau sibuk menguruskan negara (dan krisis politik) maka hal-hal utama Kementerian Kewangan jatuh atas pundak Tok Pa selaku Menteri Kewangan II. Ianya bak sirih pulang ke gagag kerana Tok Pa bermula karier sebagai penjawat awam di Kementerian Kewangan pada 1974 dan berkhidmat di bawah salah seorang lagi lagenda dan negarawan Menteri Kewangan di era itu – Tengku Razaleigh Hamzah.

  8. Pada 1984, rezeki dan karier Tok Pa dalam bidang kritikal ini terus berkembang bila mana beliau diangkat menjadi pegawai khas kepada Menteri Kewangan ketika itu – Tun Daim Zainuddin – sebelum dinaik pangkat menjadi Setiausaha Politik Tun Daim kemudiannya.

  9. Setelah menjadi senator dan Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan pada 1991, beliau kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Menteri Kewangan pada 1994 kepada tidak lain dan tidak bukan – Dato’ Seri Anwar Anwar Ibrahim sendiri yang menjadi Menteri Kewangan selepas era UMNO (Baharu) iaitu 1991 sampailah 1998 (dipecat).

  10. Antara tugas utama yang Tok Pa perlu buat selepas menggantikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 1998 selain daripada terlibat dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) ialah melaksanakan “Penyelesaian Luar Kotak” Tun Mahathir (seperti dinasihati Tan Sri Nor Mohamed Yakcop) yang bertentangan dengan Konsensus Washington IMF-Bank Dunia (yang Dato’ Seri Anwar Ibrahim berpegang kepadanya) iaitu kawalan modal dan tambat ringgit (capital control dan currency pegging).

  11. Ya, Tok Pa adalah Menteri yang bertanggungjawab menyelamatkan Malaysia daripada penyanggak mata wang George Soros dan para spekulator lain yang hampir meranapkan Malaysia. Sebelum Anwar Ibrahim dipecat, langkah penting ini tidak dapat dibuat. Hanya seminggu selepas pemecatan itu berlaku barulah Tun Mahathir dan kabinet – melalui Tok Pa sebagai Menteri Kewangan II – dapat lakukan seperti apa yang direncanakan dan dirakam dalam buku “Notes to Prime Minister” tersebut.

  12. Memandangkan gelombang Reformasi cukup kuat pada 1998-1999, PRU10 Tok Pa kalah di Jeli kepada calon PAS. Ketika itu penolakan orang Melayu ke atas UMNO cukup kuat dan yang memenangkan UMNO adalah undian kaum Cina yang menyokong MCA dan BN.

  13. Banyak yang saya bincangkan dengan Tok Pa tadi khususnya berkenaan pembangunan ekonomi Machang, Kelantan dan Malaysia. Saya masih perlu luangkan banyak masa bukan saja dengan Tok Pa, tetapi ramai lagi tokoh-tokoh besar ahli politik dan penjawat awam asal Kelantan yang rata-rata telah bermastautin di Kuala Lumpur untuk persiapkan agenda 5 tahun saya selaku wakil rakyat Machang dan lebih penting persediaan perbahasan saya untuk Titah Diraja dan Belanjawan 2023 yang bakal berlangsung dalam sidang Dewan Rakyat bulan Februari ini.

  14. Terima kasih Tok Pa atas segala jasa, pengorbanan yang diberikan kepada agama, bangsa dan negara. Kini tiba masanya saya dan pemimpin muda lain menyambung mata rantai perjuangan Tok Pa dan semua negarawan yang lain. Doakan!

– Wan Ahmad Fayhsal –

Liku-liku Penubuhan Malaysia

1. Apakah aktiviti yang afdal untuk dibuat oleh ahli politik untuk menyambut Hari Malaysia? Bagi saya menyelak semula lembaran sejarah bagaimana Malaysia dibentuk adalah amat penting kerana banyak sekali pengajaran dan ilmu tatanegara yang dapat dipelajari.

2. Tahun ini saya memilih satu bahan sejarah yang amat penting – satu memoir yang ditulis oleh salah seorang arkitek Malaysia iaitu Tun Ghazali Shafie (meninggal 2010) atau lebih dikenali sebagai “King Ghaz” yang terlibat secara langsung sebagai penjawat awam di Wisma Putra ketika itu dalam membantu Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.

3. Memoir yang ditulis sendiri oleh almarhum Tun Ghazali Shafie dalam Bahasa Inggeris (sangat tinggi laras bahasanya) yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2004 ini wajar dijadikan buku rujukan utama oleh ahli politik dan semua pelajar sejarah, dan sains politik. Ianya cukup bernilai kerana Tun Ghazali Shafie memuatkan banyak anekdot dan penceritaan semula proses, drama dan sisi pandang yang tajam, kritis berkenaan pembentukan idea Konsep Malaysia (Malaysia Concept) sehingga terbentuk entiti politik Persekutuan Malaysia.

4. Sebagai pelajar Geopolitik, sebelum ini saya banyak membaca bahan-bahan kajian sejarah pembentukan Malaysia dari sudut pandang serantau dan “luar” yang ditulis oleh sejarawan luar seperti Greg Poulgrain (“Genesis of Konfrantasi: Malaysia, Brunei, Indonesia 1945-1965”) dan pasangan Audrey dan George Kahin (“Subversion as Foreign Policy: The Secret Eisenhower and Dulles Debacle in Indonesia), Lee Kuan Yew (“Battle for Merger”) dan juga hansard-hansard perbahasan di Parlimen United Kingdom berhubung “Malaysia Bill” dan lain-lain.

5. Memoir King Ghaz adalah sudut pandang “dalam” sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu dan rumpun Melayu bagaimana pemimpin kita ketika itu yang dikepalai oleh negarawan Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak melihat semua cabaran dalaman, luaran yang memungkinkan Konsep Malaysia itu sendiri.

6. Kalau saya boleh rumuskan hasil pembacaan dan kajian saya setakat ini, pembentukan Persekutuan Malaysia banyak didorong oleh tuntutan dan desakan Geopolitik serantau – khususnya usaha Tunku Abdul Rahman dalam mengekang arus komunisme yang deras tajaan Soviet dan China. Begitu juga bekas penjajah kita British yang melihat betapa Perang Dingin (Cold War) yang berlangsung ketika itu boleh menjejaskan kepentingan politik dan ekonomi “Gentlemanly Capitalism” mereka di Alam Melayu.

7. Formula pembentukan Malaysia – yang pada mulanya didesak kuat oleh Lee Kuan Yew dan Singapura; juga oleh British untuk melibatkan hanya Malaya dan Singapura – amat dibayangi oleh kebimbangan Tunku Abdul Rahman akan polemik perkauman yang tidak seimbang dan tidak secocok dengan acuan orang-orang Melayu yang mempunyai institusi Raja, agama Islam dan adat Melayu. Ini diberi penghujahan yang jujur oleh Tunku dalam Dewan Rakyat pada 16 Oktober 1961 seperti yang dirakam secara verbatim dalam Memoir Tun Ghazali Shafie (ms110-126).

8. Episod rundingan dengan pihak British juga rumit. Bermacam-macam helah dan alasan yang diberikan oleh mereka untuk melambatkan usaha ini khususnya Kemerdekaan buat Borneo (Brunei, Sabah dan Sarawak). Tapi Tun Ghazali Shafie menceritakan bagaimana Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak benar-benar cerdas dalam diplomasi – tegas pada tempatnya, lembut pada tika waktunya. Akhirnya kita pun tahu British bersetuju dengan cara, dan syarat yang Persekutuan Tanah Melayu/Malaya tetapkan.

9. Banyak tohmahan dibuat oleh jiran tetangga kita ketika itu khususnya Indonesia dan Filipina yang mendakwa projek Malaysia ini adalah satu penjajahan bentuk baru atau neo-kolonialisme. Saya suka petik ucapan Tunku dalam parlimen ketika itu yang meletakkan kewibawaan Tunku Abdul Rahman dan Malaya sebagai negara yang mendepani cabaran penyahjajahan ketika itu:

“Malaya’s attitude towards colonialism is well-known and constantly reiterated both at home and abroad. We consider that it is our duty to help bring about an end to any form of colonialism. The very concept of the Malaysia Plan is an effort to end colonialism in this region of the world, in a peaceful and constructive manner. We in Malaya won our independence by peaceful means, and we are sure that the peoples of the Borneo territories would like to end their colonial status and obtain independence in the same way”.

10. Memoir Tun Ghazali Shafie ini seperti saya katakan tadi amat penting kerana ianya adalah hujah yang amat ampuh untuk menjawab fitnah dan dakyah yang bukan saja dilontarkan oleh Sukarno (Indonesia) dan Macapagal (Filipina) dulu tetapi juga kini yang dimainkan berulang kali oleh anasir-anasir yang menjaja cerita pemisahan Sabah dan Sarawak daripada Semenanjung Malaysia. Kenapa saya katakan demikian? Ini kerana hakikat sejarah tidak dapat dinafikan bahawa Persekutuan Tanah Melayu yakni Malaya adalah BIDAN KEMERDEKAAN buat Singapura, Sabah dan Sarawak.

11. Tanpa usaha Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak, Singapura, Sabah dan Sarawak tidak akan mendapat kemerdekaan semudah ini. Kenapa? Kerana ketika itu ketiga-tiga wilayah ini akan kekal hak milik mereka sebagai koloni British dek kerana kepentingan keselamatan dan ekonomi yang penting dimainkan Singapura, Sabah dan Sarawak kepada Britain ketika itu.

12. Singapura adalah entiti paling rumit untuk dirunding dalam membawa mereka masuk ke dalam Persekutuan Malaysia kerana faktor demografi yang lebih berat kepada kaum Cina (70% rakyat Singapura berketurunan Cina); anasir komunisme yang lebih kuat, tersusun; kepentingan sekuriti British dan SEATO (cabang NATO di Asia Tenggara) dalam mengekang Komunisme Internasional Soviet dan China; juga faktor ekonomi, kewangan, perdagangan Singapura kepada Britain. Lee Kuan Yew sangat mendesak mahukan penggabungan total (full merger) yang mana Tunku tidak setuju akibat banyak perkara – khususnya ketidak seimbangan kaum yang bakal memberi kesan sosio-politik yang besar kepada Malaya ketika itu.

13. Penggabungan Borneo untuk Malaysia lebih mudah dan tidak rumit kerana banyak sekali persamaan yang ada antara Malaya dan Boreno dari segi demografi rumpun Melayu, dan juga sistem yang ditinggalkan British. Malah rundingan dan perbincangan antara Tunku dan delegasi Borneo lebih nyaman, jujur dan mesra – seperti dinukilkan Tun Ghazali Shafie berbanding apa yang berlaku antara Tunku Abdul Rahman dengan Lee Kuan Yew.

14. Pembentukan Malaysia 1963 amat menarik untuk dikaji bukan saja daripada sudut pandang dalam seperti yang diceritakan tadi tapi seperti saya pernah kuliahkan (rujuk capaian Youtube saya: https://youtu.be/3mp49NsqIPI), ianya punya drama Geopolitik yang maha hebat.

15. Kanvas geopolitik serantau ketika itu di Asia Tenggara sebelum Persekutuan Malaysia terbentuk menujukkan episod-episod penting seperti peranan CIA di Indonesia untuk gulingkan Sukarno; Tanah Melayu sebagai pusat pengumpulan US Dollar terbesar buat British dan status Malaya sebagai “Sterling Area”; kepentingan kaum pemodal, kapitalis British seperti Sime Darby, Guthrie, Boustead, Harrison & Crossfield yang memerintah Tanah Melayu dan Malaysia sebagai “Gentlemanly Capitalism” dari The City of London; kepentingan perniagaan Rockefeller dan Kissinger dalam usaha mendapatkan kawalan dan pajakan ke atas lombong emas Grasberg di Papua dan kedudukan dan peranan Persekutuan Malaysia sebagai “bulwark” sistem kapitalis di Asia Tenggara.

16. Saya amat syorkan semua anak muda khususnya yang mahu bergiat dalam politik tanah air menjadikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia sebagai satu ilmu sejarah dan tatanegara yang wajib dipelajari, difahami dan lebih penting dihayati kerana tanpanya Kemerdekaan yang kita warisi ini bakal tergugat suatu hari nanti. Jangan biarkan mana-mana pihak dari luar merungkai semula muafakat ini dan biarkan anai-anai dari dalam memakan tiang seri Rumah Panjang Malaysia ini. Selamat Hari Malaysia ke-59!

– Wan Ahmad Fayhsal –

An image of 1 person, book and text that says 'GHAZALI SHAFIE'SS MEMOIR on the Formation of Malaysia'

Usaha Memartabatkan Bahasa Melayu Wajib Disokong

Bahasa Melayu wajar dijadikan bahasa rasmi ASEAN

Saya menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bahawa Malaysia akan berbincang dengan pemimpin-pemimpin negara serantau agar bahasa Melayu dapat dijadikan sebagai bahasa kedua ASEAN.

Bahasa Melayu dengan pelbagai dialek dan variannya telah menjadi lingua franca selama beberapa kurun di rantau Asia Tenggara, terutamanya dengan pengembangan perdagangan dan agama Islam pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bahkan hari ini di wilayah-wilayah seperti Champa (sebahagian daripada negara Kemboja, Laos dan Vietnam hari ini) sekalipun, bahasa Melayu masih digunakan dalam penggunaan kitab-kitab kuning bagi tujuan pengajian agama Islam.

Hari ini, terbitannya menjadi bahasa kebangsaan dan rasmi di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei. Keempat-empat negara ini mempunyai badan khusus untuk menyelia dan memajukan penggunaan bahasa serta bekerjasama di peringkat antarabangsa melalui Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM). Mereka adalah:

  • Dewan Bahasa dan Pustaka (Malaysia)
  • Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa (Indonesia)
  • Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei
  • Majlis Bahasa Melayu Singapura
  • Dan sebuah badan yang sedang diperkemas di wilayah selatan Thailand

Memandangkan bahasa Melayu dipertutur oleh lebih 200 juta penutur jati dan rasmi, ia menjadi antara 10 bahasa utama di dunia, dan juga sebagai bahasa majoriti di rantau Asia Tenggara. Indonesia juga adalah salah sebuah 20 kuasa ekonomi besar dunia, maka akan memudahkan usaha untuk menjadikannya juga sebagai sebuah bahasa perdagangan serantau. Aspirasi juga selari dengan kedudukan Bahasa Kebangsaan kita adalah faktor utama pembinaan negara dan perpaduan nasional, yang kini juga boleh dijadikan faktor integrasi serantau.

Dari segi akademik juga, negara-negara utama yang menyimpan khazanah-khazanah bahasa Melayu seperti China, Rusia, Belanda, Jerman dan United Kingdom mempunyai fakulti-fakulti pengajian bahasa, sejarah dan kajian semasa Melayu/Indonesia di institusi-institusi pendidikan tinggi masing-masing.

Secara mudahnya, kita sudah ada asas kukuh yang diperlukan untuk merealisasikan impian ini. Apa yang diperlukan sekarang ialah iltizam politik yang utuh dan sumber yang sewajarnya untuk mempermudah penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Jika ini dapat dicapai, insyaAllah bahasa Melayu sekali lagi akan dapat dimartabatkan sebagai bahasa ilmu bukan sahaja di peringkat serantau, malah juga di peringkat antarabangsa. Namun begitu, semua ini bergantung kepada kepercayaan dan kesungguhan kita sendiri untuk menterjemah wawasan ini menjadi realiti.

WAN AHMAD FAYHSAL BIN WAN AHMAD KAMAL
24 Mac 2022

Nota penafian: Pendapat ini diutarakan atas kapasiti peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak lainnya.

Sumber berita: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2064725

Beda Nama Bukan Penghalang, Bahasa ASEAN Harus Dimartabatkan

  1. Saya merujuk kepada kenyataan daripada Menteri Pendidikan, Budaya, Riset dan Teknologi (Mendikbudristek), Tuan Nadiem Anwar Makarim berkenaan cadangan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN [1].

  2. Walaupun secara zahirnya Tuan Nadiem kelihatan menolak cadangan ini, beliau meletakkan dua keutamaan yang saya fikirkan positif iaitu:

    (i) Bahawa beliau percaya Bahasa Indonesia lebih cocok untuk dijadikan bahasa rasmi ASEAN berbanding bahasa Melayu.
    (ii) Perkara ini “perlu dikaji dan dibahas lebih lanjut di tataran regional”.

    TAKRIF BAHASA MELAYU & BAHASA INDONESIA

  3. Saya percaya bahawa isu ini dibangkitkan sebegitu kerana takrif yang berlainan digunakan oleh sekurang-kurangnya dua negara Malaysia dan Indonesia. Di Indonesia:

    (i) Sumpah Pemuda pada 28 Oktober 1928 mengiltizamkan suatu bahasa yang tunggal untuk seluruh bangsa Indonesia.
    (ii) Pasal 36 Undang-undang Dasar Republik Indonesia menetapkan Bahasa Negara ialah Bahasa Indonesia.
    (iii) Status dan fungsi Bahasa Indonesia ditetapkan oleh Undang-undang Republik Indonesia Nomor 24 Tahun 2009 tentang Bendera, Bahasa, dan Lambang Negara, serta Lagu Kebangsaan.

  4. Manakala di Malaysia pula:

    (i) Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa kebangsaan Malaysia ialah bahasa Melayu.
    (ii) Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menetapkan skop penggunaan bahasa kebangsaan atau Bahasa Malaysia.

    LAHIR DARI INDUK YANG SAMA

  5. Sekalipun begitu, sama ada dari segi sejarah ataupun sudut praktikal, kedua-dua bahasa saling boleh difahami (mutually intelligible). Hal ini kerana ia berkongsi suatu induk yang sama iaitu ‘bahasa persuratan’, iaitu terbitan daripada bahasa Melayu kuno yang digunakan oleh kerajaan-kerajaan lama di pesisir Selat Melaka. Pada awalnya, ia ditulis dalam pelbagai sistem aksara terutamanya Kawi dan Rencong. Bahasa ini dapat dikesan penggunaannya hatta sehingga ke kepulauan Filipina hari ini.

  6. Kebangkitan Kesultanan Melaka dan kemudiannya Kesultanan Pahang-Johor-Riau-Lingga sebagai kuasa besar dan pusat perdagangan yang juga berfungsi sebagai pusat penyebaran agama Islam telah mengukuhkan lagi peranan bahasa ini di nusantara. Ketika inilah jugalah banyak pinjaman daripada bahasa Arab, Farsi, Urdu, Belanda dan Inggeris berlaku. Kesarjanaan dalam agama Islam oleh tokoh-tokoh seperti Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri juga menambah kepada kekayaan ini, sehingga tulisan Jawi yang dipinjam daripada bahasa Arab dan Farsi akhirnya menggantikan sistem penulisan lain.

  7. Di sebalik penjajahan nusantara oleh kuasa-kuasa Eropah, berkat kesarjanaan para pendeta seperti Raja Ali Haji dan penyebaran teknologi percetakan, bahasa Melayu kekal menjadi bahasa yang difahami dan dipertutur umum di seluruh rantau ini atau ‘lingua franca’ sehingga abad ke-20 [2]. Namun begitu, kesan kolonial telah menjadikan tulisan Rumi menjadi sistem penulisan yang dominan.


    “Kitab Hitoengan” dan “Peladjaran Bahasa Melajoe” yang diterbitkan di Batavia (Jakarta) pada tahun 1941. Istilah ‘Bahasa Indonesia’ kemudiannya dikanunkan oleh Undang-undang Dasar Negara Republik Indonesia Tahun 1945. (Kredit: Prof. Dato’ Dr. Abdul Mua’ti Ahmad)

    KEMERDEKAAN INDONESIA & MALAYSIA

  8. Apa yang jelas ialah para sarjana bersetuju bahawa bahasa Melayu Johor-Riau-Lingga sebagai terbitan bahasa persuratan adalah asas kepada bahasa Indonesia dan bahasa Melayu di Malaysia, Singapura dan Brunei yang digunakan hari ini. Hal ini ditegaskan oleh Presiden Soekarno yang cenderung memilih Bahasa Melayu yang lebih egalitarian sebagai asas Bahasa Indonesia, dan bukannya bahasa Jawa yang dianggap lebih feudal kerana mempunyai banyak tingkatan [3]. Hal ini seterusnya menjadi ketetapan Sumpah Pemuda pada tahun 1928.

  9. Pasca kemerdekaan kedua-dua negara, bahasa ini wujud sebagai bahasa yang plurisentrik sebagai bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia kerana pemerintah kedua-dua negara menetapkan keutamaan yang berlainan bagi setiap satunya.

    PERKEMBANGAN SEMASA

  10. Hari ini, pemerintah di setiap negara menubuhkan badan kawal selia tersendiri iaitu Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa (Indonesia), Dewan Bahasa dan Pustaka (Malaysia), Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei dan Majlis Bahasa Melayu Singapura. Namun begitu, pemantauan dan koordinasi perkembangan bahasa di rantau ini tetap diteruskan oleh sebuah badan supranasional iaitu Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia.

  11. Di samping itu, seperti yang pernah saya bangkitkan sebelum ini, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu kembali mendapat perhatian di beberapa kawasan seperti selatan Thailand. Untuk tujuan ini, Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan di Patani pada 12 Oktober 2013 [4].

  12. Awal tahun itu juga, Menteri Pendidikan Filipina menyuarakan kemungkinan untuk memperkenalkan Bahasa Indonesia sebagai bahasa ketiga di sekolah-sekolah [5]. Hal ini bagi membolehkan warga Filipina mengambil peluang daripada perkembangan pesat ekonomi negara-negara ASEAN seperti Malaysia dan Indonesia.

    DALAM DUNIA AKADEMIK

  13. Secara linguistik, bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia yang dianggap sebagai terbitan atau cikal kepada bahasa persuratan atau bahasa Melayu klasik ini tergolong dalam keluarga Malayo-Polynesia yang merangkumi seluruh nusantara. Maka pengajiannya di luar nusantara tidaklah banyak berbeda daripada pengajian Melayu itu sendiri.

  14. Hari ini, walaupun bahasa Indonesia diajar sebagai bahasa antarabangsa di negara-negara seperti Australia (Bahasa Indonesia bagi Penutur Asing atau BIPA), bahasa Melayu turut diajar sebagai subjek pengajian dan peperiksaan oleh badan-badan seperti Cambridge International dan International Baccalaureate.

  15. Di samping itu, ia diajar sebagai sebahagian daripada pengajian ‘alam Melayu’ di institusi-institusi pendidikan antarabangsa. Di Eropah, pengajiannya berkait rapat dengan kajian sejarah dan kontemporari Asia Tenggara terutamanya terhadap manuskrip yang dikumpulkan daripada seluruh alam Melayu.

  16. Manakala di China pula, bahasa Melayu terus mendapat perhatian sehingga Kerajaan Malaysia meletakkan Kursi Pengajian Melayu ketiga di Universiti Pengajian Asing Beijing pada tahun 2005, iaitu selepas di Universiti Leiden, Belanda dan Universiti Victoria, New Zealand [6].

    MASA DEPAN BAHASA MELAYU & BAHASA INDONESIA

  17. Jika kita teliti Pedoman Umum Ejaan Bahasa Indonesia (PUEBI), Tata Bahasa Baku Bahasa Indonesia dan Tatabahasa Dewan, perbedaan antara kedua-duanya amatlah minimum. Tetapi dari segi kosa kata pula, jika dibandingkan antara Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI) dan Kamus Dewan, memang banyak peralihan semantik yang berlaku daripada kosa kata tradisi, yang rencamnya ditambah pula dengan kaedah peminjaman istilah dan neologisme yang agak berlainan.

  18. Sedangkan bahasa Indonesia lebih banyak mengekalkan istilah Sanskrit serta meminjam daripada bahasa Belanda dan bahasa-bahasa sukuan di sana, bahasa Melayu di Malaysia, Singapura dan Brunei lebih banyak meminjam daripada bahasa Arab, Inggeris dan bahasa-bahasa sukuan masing-masing. Sekalipun begitu, penutur bahasa di negara-negara ini masih saling memahami antara satu sama lain, terutamanya jika bahasa baku digunakan.

  19. Ini jauh bedanya dengan bahasa kolokial atau bahasa vernakular yang digunakan sehari-hari. Bahasa Melayu dialek Kuala Lumpur lebih dominan di Semenanjung Malaysia, sedangkan bahasa Melayu varian Brunei dan Sabah lebih dominan di Borneo. Manakala varian bahasa Indonesia yang dominan di Jakarta ternyata sukar difahami oleh penutur bahasa di tempat-tempat lain. Kepelbagaian ini harus diraikan, namun ia wajar dipisahkan daripada isu bahasa rasmi yang sedang dibincangkan ini.

  20. Secara keseluruhannya, walaupun dipisahkan oleh sempadan dan sistem politik beberapa negara, bahasa-bahasa yang terus berkembang ini tetaplah pada asasnya adalah terbitan bahasa persuratan, namun terus wujud dan berevolusi secara plurisentrik. Ini tidak jauh bezanya dengan bahasa Perancis, Jerman dan Arab yang dikongsi antara beberapa kuasa besar rantau dan dunia.

  21. Oleh itu, dalam membicarakan masa hadapan dan wawasan untuk bahasa yang dikongsi bersama ini, adalah wajar untuk kita membincangkannya dalam suatu suasana persaudaraan dan kasih sayang sebagai bangsa serumpun dan bukannya dengan perseteruan dan syak wasangka.

    MENJADI BAHASA RASMI ASEAN


    Sumber: Usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN wajar disokong

  22. Maka bolehlah kita simpulkan bahawa dalam menetapkan bahasa pengantar di peringkat ASEAN, bahasa yang dipilih hendaklah merupakan bahasa yang dikongsi bersama secara sejarah, budaya dan penggunaan kontemporarinya oleh negara-negara anggota ASEAN itu sendiri.

  23. Bahasa yang dikongsi bersama ini ialah bahasa yang terbit daripada bahasa persuratan yang menjadi asas kepada bahasa-bahasa kebangsaan di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei. Bahasa ini jugalah yang menjadi lingua franca di nusantara sejak ratusan tahun.



  24. Oleh yang demikian, saya akan terus memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang dominan di peringkat ASEAN. Seperti yang saya tegaskan di atas juga, bahasa Indonesia yang baku tidak jauh beza dengan bahasa-bahasa kebangsaan di Malaysia, Singapura dan Brunei. Saya fikir ini tidak menjadi masalah kerana ia masih bahasa yang digunakan untuk tujuan rasmi dan persuratan, dan bukannya bahasa kolokial yang memang jauh berbeza dari satu daerah ke daerah lain.

    PROSPEK PENGIKTIRAFAN


    Sumber: “Wacana Sinar: Mampukah Bahasa Melayu Tawan ASEAN?” pada Jumaat, 08 April 2022 di Studio Karangkraf, Shah Alam

  25. Seperti yang disebutkan oleh Tuan Nadiem Makarim, usul ini perlu dibincangkan secara lanjut antara kepala-kepala negara yang terbabit iaitu Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura.

  26. Namun perlu ditegaskan, kendatipun bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi ASEAN, ia tetap adalah kemenangan dan pengiktirafan buat bahasa Indonesia juga. Di samping itu, ia juga bakal menjulang kedudukan bahasa, budaya dan peradaban nusantara di mata dunia.

  27. Saya percaya bahawa ini juga adalah sepadan dengan status dan prestij Indonesia sebagai salah satu daripada 20 kuasa ekonomi utama dunia (G20), serta ASEAN sebagai blok ekonomi yang berpengaruh dan disegani [7].


WAN AHMAD FAYHSAL BIN WAN AHMAD KAMAL
07 April 2022

Nota penafian: Pendapat ini diutarakan atas kapasiti peribadi dan tidak mewakili pendirian mana-mana pihak lainnya.

SENARAI RUJUKAN

[1] KOMPAS “Alasan Nadiem Tolak Melayu Jadi Bahasa Resmi ASEAN: Bahasa Indonesia Terbesar di Asia Tenggara” https://nasional.kompas.com/read/2022/04/05/16473561/alasan-nadiem-tolak-melayu-jadi-bahasa-resmi-asean-bahasa-indonesia-terbesar

[2] KEMENDIKBUD – “Perkembangan Bahasa Melayu” https://kebudayaan.kemdikbud.go.id/bpnbkepri/perkembangan-bahasa-melayu/

[3] TEMPO – “Bahasa Jawa Jangan Jadi Bahasa Nasional” https://nasional.tempo.co/read/438174/soekarno-bahasa-jawa-jangan-jadi-bahasa-nasional

[4] “Kesegaran Bahasa Melayu Di Selatan Thailand” https://www.astroawani.com/perspektif/kesegaran-bahasa-melayu-di-selatan-thai-24358

[5] “Bahasa in schools? DepEd eyes 2nd foreign language” https://www.philstar.com/headlines/2013/03/22/922576/bahasa-schools-deped-eyes-2nd-foreign-language

[6] Radio Antarabangsa Cina – “Memperkasa Pengajian Bahasa Melayu di China” http://malay.cri.cn/781/2012/12/24/101s136979.htm

[7] The Diplomat – “Language Policy and Education in Southeast Asia” https://thediplomat.com/2021/12/language-policy-and-education-in-southeast-asia/

Al-Ghazali dan Kesihatan Mental

Tanggal 10 Oktober saban tahun, warga dunia menyambut hari yang dikhaskan untuk kesihatan mental, sebuah topik yang mutakhir ini semakin mendapat perhatian dan empati susulan pandemik Covid-19 yang besar impak sosialnya. Jika isu-isu kesihatan mental dahulu dianggap diselubungi perkara-perkara ghaib, kini pelbagai pendapat yang didokongi penemuan saintifik membantu para pengamal perubatan moden untuk memunasabahkan fenomena yang sedang merundung umat manusia. Betapa ilmu manusia telah berkembang dengan sangat pesat.

Sungguhpun kemajuan ilmu ini amatlah dibanggakan, masih terdapat banyak perkara yang belum dapat dijelaskan sepenuhnya oleh sains moden. Justeru, kelompongan ini boleh cuba diisi dengan meluaskan paradigma kita, meneroka penjelasan-penjelasan lain yang mungkin boleh dijumpai dalam tradisi-tradisi dunia lain seperti agama Islam, Kristian, tradisi kuno China dan sebagainya. Namun demikian, ini memerlukan suatu sikap keilmuan yang perlu kita tekuni iaitu keterbukaan ilmiah (intellectual openness).

Menurut Wael Hallaq, seorang pemikir ternama yang berpusat di Universiti Columbia, kita hendaklah bersedia untuk menanggapi tradisi-tradisi dunia yang lain sebagai khazanah yang tidak kurang saintifik berbanding paradigma sains moden. Hanya dengan usaha untuk memahami kesepaduan dalaman (internal coherence) tradisi-tradisi ini akan kita mampu kecapi manfaat-manfaatnya.

Dengan itu, untuk menyambut semangat keterbukaan ini, dan bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, saya ingin berkongsi sebuah idea tentang komposisi jiwa di sisi pemikir ulung dalam tradisi Islam, Ḥujjat al-Islām Abū Ḥāmid al-Ghāzalī (m. 1111 M). Barangkali terdapat sesuatu daripada khazanah peninggalan beliau yang boleh membantu kita untuk memahami hakikat jiwa insan dengan lebih lanjut.

Terdapat banyak karya beliau untuk memerihalkan hakikat jiwa insan. Antaranya ialah Kimiyā’ al-Saʻādah (Kimia Kebahagiaan), ʻAjāʼib al-Qalb (Keajaiban Hati), Mīzān al-ʻAmal (Timbangan Amal), al-Munqidh min al-Ḍalāl (Penyelamat daripada Kesesatan) dan bahkan adikaryanya Iḥyā ʻUlūm al-Dīn (Menghidupkan Semula Ilmu Agama).

Dalam karyanya Kimiyā’ al-Saʻādah, al-Ghāzalī memulakan jalur fikirannya dengan sebuah persoalan: Siapakah ‘diri’ engkau yang hakiki? Jika engkau katakan tangan, kepala, kaki, dan lain-lain anggota badanmu, maka haiwan juga berkongsi anggota yang sama. Begitu juga, semua perasaan – marah, gembira, kecewa, seronok, dan lain-lain – yang engkau rasai itu juga bukan dirimu yang hakiki, kerana perasaan-perasaan itu pun pada hakikatnya dialami oleh sesuatu. Lalu, apakah ‘sesuatu’ itu? Jawapan al-Ghāzalī, ‘sesuatu’ itu ialah hati (qalb) atau jiwa (nafs).

Hatilah yang menjadi letak duduknya iman, ilmu dan keyakinan. Ia juga menjadi penerima arahan dan larangan daripada Tuhan. Walaupun ia tidak dapat dicerap oleh pancaindera, keberadaannya dapat dikenalpasti melalui kesannya dengan menggunakan akal. Jua yang paling penting, kebajikannya menjadi sebab dan penentu bagi kebahagiaan atau kesengsaraan seseorang. Pandangan ini selari dengan hadith Rasulullah yang menyebut hati sebagai seketul daging yang menjadi penentu kebajikan jasad.

Pun demikian, bagaimanakah hati menjadi penentu kebahagiaan seseorang? Bagi menjawab soalan ini, al-Ghāzalī membuat perbandingan antara jasad dan hati. Kata beliau, keseronokan jasadiah dapat diperoleh dengan memenuhi tuntutan fizikal – makan dan minum, tidur yang mencukupi, kehidupan berkeluarga dan sebagainya. Dan kesengsaraannya terjadi jika ia terputus daripada perkara-perkara tersebut. Tetapi, semua keseronokan ini hanya bersifat sementara. Kelazatan makanan hanya dapat dinikmati sewaktu ia berada di dalam mulut. Setelah masuk ke dalam perut, kelazatannya tidak lagi terasa di lidah. Dan nikmat ini berpadanan dengan jasad. Oleh kerana jasad itu sesuatu yang terbatas, nikmat yang dapat ditanggapnya juga terbatas.

Tetapi, hati itu adalah sesuatu yang berasal daripada alam yang lebih tinggi (ʻālam al-malakūt), justeru nikmatnya juga hendaklah berbentuk sesuatu yang tidak terbatas. Dan kebahagiaan insan adalah pada menyaksikan keindahan dan kekuasaan ilahi (mushāhadah jamāl wa jalāl ḥaḍrat al-rubūbiyyah). Di sini, Aristotle menyebutkan perkara yang hampir kepada pandangan al-Ghāzalī. Menurutnya, manusia secara fitrahnya berkeinginan untuk tahu (man, by nature, desires to know). Justeru, kebahagiaan manusia adalah pada kesibukan dalam ilmu.

Walau bagaimanapun, ini tidaklah menafikan keperluan jasadiah manusia. Bahkan, semua keperluan jasadiah adalah penting untuk berperanan sebagai tapak bagi mencapai kebahagiaan yang lebih tinggi, kebahagiaan yang beberapa ahli falsafah ekonomi moden sebutkan sebagai kegiatan masa senggang atau liburan (leisure activities). Hal yang sama juga disebutkan oleh al-Ghāzalī dalam karyanya yang lain, Mīzān al-ʻAmal.

Penerokaan yang dipenakan oleh beliau ini bukanlah sekadar penerokaan omong kosong. Bahkan, ia merupakan renungan mendalam yang diperoleh melalui pengalamannya sendiri, di mana beliau pernah berhadapan dengan suatu fasa yang mengganggu gugat ketenteraman dan kesihatan mentalnya, sepertimana yang tercatat dalam rekod pengalamannya, al-Munqidh min al-Ḍalāl. Bertitik tolak daripada pengalaman inilah, al-Ghāzalī memanfaatkan baki hidupnya untuk mencari rumus kesihatan jiwa yang paling berkesan.

Daripada catatan ringkas ini, apakah pengajaran mudah yang boleh kita perolehi? Pertama, manusia merupakan makhluk yang istimewa yang tidak hanya terdiri daripada jasad dan tindak-balas kimia yang mengambil tempat di dalam pembuluh darah otak. Malahan, hakikat manusia itu wujud dalam bentuk yang lebih tinggi seperti yang diulas secara panjang lebar oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karya Makna dan Pengalaman Kebahagiaan dalam Islam (2015, dalam Himpunan Risalah).

Jiwa dan jasad itu bekerja secara bergandingan, maka kedua-duanya harus disantuni dengan cara yang sesuai dengan hakikat masing-masing. Justeru, mengambil kira hakikat yang menjangkaui aspek fizikal ini dapat membantu kita untuk mengenalpasti pendekatan yang juga menjangkaui ubat-ubatan dan terapi fizikal (tanpa sedikitpun mengenepikan malah mengiktiraf kepentingan usaha-usaha tersebut).

Kedua, oleh kerana hakikat yang tinggi ini, adalah sangat mustahak untuk kita membentuk suasana masyarakat dan tempat tinggal yang kondusif untuk kebajikan jiwa insan. Bukan sahaja ekonomi dan politik sesebuah masyarakat itu perlu makmur, malahan aspek sosialnya juga perlu diberikan kadar perhatian yang sama. Ini termasuklah aspek pendidikan yang seharusnya menyertakan fokus untuk mengenal diri, berfikir secara falsafi, merenung konsep-konsep hidup yang penting, kegiatan kebudayaan dan kesenian dan lain-lain. Untuk memahami kepentingan perkara-perkara tersebut, barangkali bahan bacaan moden yang sesuai untuk dibaca, antaranya, ialah Philosophy of Leisure: Foundations of the Good Life (2017) oleh Johan Bouwer dan Marco van Leeuwen.

Akhir sekali, tidak banyak ruang untuk kita bahaskan topik ini dengan panjang di medium ini. Cukup sekadar kita renungkan mutiara hikmah yang diungkapkan oleh Socrates yang berbunyi: “An unexamined life is not worth living”. Lagi, bak kata pepatah Arab: “al-ʻaql al-salīm fī al-jism al-salīm” (Melayu: akal yang sejahtera ada pada tubuh badan yang sihat; Latin: mens sana in corpore sano).

NOTA PENAFIAN: Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendapat atau pendirian mana-mana pihak lain.

(Kredit imej: https://www.who.int/campaigns/world-mental-health-day/2021/about)

Di mana letaknya nilai ‘kegunaan’ sesuatu ilmu?

1. Baru-baru ini, telah tular sebuah isu berkenaan pendidikan negara. Telah berlegar sebuah pendapat yang agak menarik berkenaan tempoh pengajian mahasiswa di universiti tempatan yang dikatakan lebih panjang berbanding universiti di negara-negara seperti UK, Australia dan Singapura.

2. Menurut pendapat ini juga, jika kita gugurkan beberapa subjek ‘kurang relevan’, mahasiswa kita boleh tamatkan pengajian mereka lebih awal, seterusnya boleh terus menceburi pasaran kerja. Sungguhpun cadangan ini dapat diterima baik oleh sesetengah pihak, sebagai rakyat yang prihatin tentang masa depan negara, saya memilih untuk berbeza pendapat.

3. Pertamanya, perbandingan yang dibuat adalah tidak setara. Seorang pelajar perundangan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) perlu menghabiskan 2 tahun di peringkat asasi dan 4 tahun di peringkat sarjana muda. Walau bagaimanapun, mereka tidak perlu mendapatkan Sijil Amalan Guaman (Certificate of Legal Practice atau CLP).

4. Manakala pelajar perundangan yang menuntut di UK pula perlu melengkapkan 2 tahun pengajian A-Level, 3 tahun untuk mendapatkan ijazah sarjana muda, kemudian perlu menduduki peperiksaan CLP sebelum menceburi amalan guaman. Secara kasarnya, tidak ada sebarang perbezaan yang ketara di sini.

5. Dalam contoh lain pula, kursus sarjana muda kejuruteraan di UK juga memerlukan 2 tahun A-Level dan tiga tahun prasiswazah. Manakala selepas setahun program matrikulasi, seorang pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memerlukan 4 tahun untuk mendapat ijazah yang sama. Ini selari dengan konteks Australia dan New Zealand. Sekali lagi, tiada perbezaan yang ketara.

6. Kedua, usul bahawa dengan menggugurkan beberapa subjek wajib – contohnya TITAS, Pengajian Malaysia dan Hubungan Etnik yang semuanya adalah subjek kemanusiaan – masa yang dijimatkan boleh ditumpukan kepada subjek yang lebih relevan, sekaligus membolehkan mereka menamat pengajian dengan lebih cepat.

7. Pun begitu, melainkan jika jumlah jam kredit pengajian dikurangkan, mahasiswa kita tetap perlu mengambil subjek lain. Bezanya, pilihan mereka akan menjadi lebih terhad kerana banyak subjek yang telah ‘dibuang’. Justeru, hujah ini tidak boleh digunapakai.

8. Ketiga, adalah salah untuk menganggap bahawa subjek-subjek kemanusiaan tidak relevan, tidak mempunyai impak, atau tidak menawarkan nilai dalam proses pendidikan untuk mahasiswa kita.

9. Kita ambil contoh pelajar-pelajar di alma mater saya, King’s College London. Kami digalakkan untuk melengkapkan Associate of King’s College London (AKC), sebuah siri syarahan berasaskan penyelidikan yang bertujuan mempromosikan aktiviti renungan terbuka terhadap persoalan-persoalan etika dan falsafah. Ini perlu dibuat selari dengan kursus hakiki mereka.

10. Adalah menjadi kebiasaan untuk universiti-universiti di UK mewajibkan pelajar-pelajar mereka mengambil subjek-subjek yang ‘tidak berkenaan’ seperti subjek-subjek kemanusiaan dan bahasa untuk memperluas perspektif masing-masing. Penuntut di Oxford dan Cambridge sebenarnya lebih terbeban oleh dengan pendekatan mencapah universiti dalam mana-mana subjek. Universiti-universiti di Amerika Syarikat pula adalah jauh lebih terbuka dalam penawaran subjek-subjek elektif yang mungkin kita anggap di luar bidang pengajian.

11. Tambahan lagi, pelajar-pelajar juga digalakkan untuk meneroka minat di luar dunia akademik. Selain daripada program latihan industri yang biasanya tidak wajib, mereka digalakkan untuk berkelana atau melancong, bekerja separuh masa, menjadi sukarelawan dan terlibat dalam lain-lain aktiviti. Peminat-peminat rancangan The Crown di Netflix mungkin maklum bahawa Putera Charles mengambil kursus lakonan ketika menuntut di Universiti Cambridge.

12. Berapa ramaikah dalam kalangan kita – baik dalam dunia akademik mahupun industri – yang berani menohmah bahawa institusi-institusi ternama seperti di atas sengaja ‘membazirkan’ masa semua pihak dengan menggalakkan para pelajar untuk mempelajari falsafah, lakonan pentas dan bahasa Latin? Mungkin tak ramai!

13. Keempat, kita perlu membezakan antara pendidikan dan pembangunan kemahiran. Para pemikir ulung seperti Kardinal John Henry Newman dan ilmuwan negara Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas telah lama menegaskan bahawa universiti dibina dengan tujuan untuk mengasah akal, menjadi sumbu pemajuan ilmu, serta menyediakan pendidikan yang membentuk sahsiah sempurna, bukan kilang yang menghasilkan pekerja. (The Guardian, 2010)

14. Jika kita mahu lahirkan pekerja berkemahiran, kita perlu melabur dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), sepertimana yang sedang diusahakan sekarang. Kita juga perlu membina kerangka pendidikan yang lebih modular dan anjal, menggalakkan penawaran ijazah mikro, serta mengembangkan CPD (continuing professional development).

15. Akhir sekali, banyak kajian telah menunjukkan bahawa subjek-subjek kemanusiaan mampu menawarkan nilai yang hakiki kepada mahasiswa. Robbert Dijkgraaf, pengarah Institut Kajian Lanjutan di Universiti Princeton berpendapat bahawa disiplin kemanusiaan mampu menyediakan tapak yang subur untuk membentuk masyarakat yang terdiri daripada bijak pandai dan negarawan.

16. Pendirian ini selari dengan idea yang telah diperjuangkan sejak tahun 1940-an oleh Abraham Flexner dalam ‘The Usefulness of the Useless Knowledge’ (1939) dan Mortimer Adler dalam ‘Paideia Proposal: An Educational Manifesto’ (1982).

17. Bahkan dalam dunia STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), kemahiran-kemahiran yang kini dianggap amat penting seperti pemikiran kritis, pertimbangan kuantitatif dan kualitatif, kerjasama berkumpulan dan penyelesaian masalah sebenarnya mampu dipupuk dengan lebih berkesan melalui pengajian dalam bidang kemanusiaan. (The Washington Post, 2017)

18. Amatlah membimbangkan bilamana World Index of Moral Freedom 2020 meletakkan Malaysia di tangga ke-129 dalam tingkatan moral mereka. Ini adalah kedudukan yang begitu rendah dan amat mengaibkan. Sebagai sebuah negara yang berhempas pulas dalam pencarian diri dan kini turut mendambakan kestabilan politik, jelas bahawa kita perlu lebih mahir dalam bidang kemanusiaan.

19. Benar, kita perlu menyemak semula kerangka subjek kemanusiaan yang ada hari ini. Subjek yang berulang-tindih sejak sekolah menengah pasti boleh digugurkan. Kita juga wajar untuk meningkatkan pelaburan dalam bidang STEM. Namun begitu, kita tidak boleh ambil pendekatan acuh tak acuh sehingga yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

20. Justeru, jika ditanya adakah kita perlu lebihkan atau kurangkan tumpuan terhadap bidang kemanusiaan, jawapan saya ialah ‘perlu’! Namun saya hentikan sahaja di situ. Mungkin kita boleh bincangkan soal rombakan semula sistem pendidikan yang lebih menyeluruh di hari yang lain.

Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal
06 Oktober 2021

NOTA PENAFIAN: Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendapat atau pendirian mana-mana pihak lain.

The Usefulness of ‘Useless Knowledge’

1. YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, the Member of Parliament for Muar, Johor and a great friend of mine made an interesting claim that a local university graduate must spend more time to obtain a bachelor’s degree in Malaysia compared to countries like the UK, Australia and Singapore.

2. He further argued that by dropping some of the ‘less relevant’ subjects, students can shorted the duration of their studies and therefore transition more quickly into the labour market. Whilst the thesis may appeal to some, I must respectfully disagree.

3. Firstly, the comparisons made were not like-for-like. In general law student at the International Islamic University Malaysia (IIUM) must spend two years completing the foundation of law course, four years to obtain his bachelor’s degree, yet need not complete the Certificate of Legal Practice (CLP).

4. A law student in the UK must spend two years doing A-Levels, three years reading law, and need to sit for CLP before joining law practice proper. Overall, there is not much difference between the two.

5. Obtaining a Bachelor of Engineering degree in the UK similarly takes two years of A-Levels and three years of undergraduate studies. After a year of matriculation, a student at Universiti Teknologi Malaysia (UTM) needs only four years to obtain the same. This is quite similar in Australia and New Zealand. Again, very much comparable.

6. Secondly, YB Syed Saddiq suggested that by doing away with certain subjects (making them electives) – like TITAS, Malaysia Studies and Ethnic Relations, all of which are in the realm of humanities – students can otherwise utilise the equal number of hours ‘saved’ on ‘more relevant subjects’, thus graduate more quickly.

7. However, unless the amount of credit hours required to complete a course is also reduced, this only means that students have less subjects to choose from, which will further limit the scope of their education. It is therefore safe to say that this point is moot.

8. Thirdly, it is a folly to assume that subjects in humanities (or more broadly liberal arts) are not relevant to one’s education, not ‘impactful’, or does not deliver ‘value’ to our students’ development.

9. Let us do another quick observation. Students at my alma mater King’s College London are encouraged to pursue the Associate of King’s College London (AKC) course, a research-led programme of lectures that aims to promote intelligent, open-minded reflection on ethical and philosophical questions, to be completed alongside their main programme of study.

10. It is not uncommon for UK universities to require their students to take ‘unrelated subjects’ such as humanities and languages to broaden one’s perspective. Oxford and Cambridge students have it tougher with their broad approach to any subject. US universities adopt an even more liberal attitude to education in general, which we can discuss next time.

11. On top of that, students are generally encouraged to explore life beyond academia. Other than the non-compulsory internships, they are encouraged to travel, work part-time, volunteer and explore other interests. Enthusiasts of Netflix’s The Crown might have noticed that Prince Charles took up acting when he was at Cambridge.

12. How many among us in either academia or industry would dare suggest that such distinguished institutions make it a habit to waste everyone’s time by encouraging their students to take up philosophy, theatre and Latin? Very few if not none, I would imagine.

13. Fourthly, we should not confuse education with training for skills development. Great thinkers long before Cardinal John Henry Newman (The Idea of a University) or more contemporary than Malaysia’s own Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas (The Concept of Education in Islam) have long argued that universities are meant to be the guardian of reason, promote the advancement of knowledge, and provide education that makes a person complete; not a factory that churns out mere workers.

14. If we want skillful workers, we should rightfully invest more in Technical and Vocational Education and Training (TVET), as we are now doing. We should also promote modular and more flexible regime for learning, encourage micro degrees and professional education, and expand continuing professional development (CPD).

15. Fifth and finally, studies have shown that subjects in humanities do actually add value to one’s education and personal development. Robbert Dijkgraaf, the director of Institute for Advanced Study in Princeton University thinks that humanities subjects provide the fertile soil that serves as the nourishing medium to grow intellectuals and statesmen.

16. This very much echoes the same idea championed decades ago by renowned modern educationists such as Abraham Flexner in The Usefulness of the Useless Knowledge (1939) and Mortimer Adler in the Paideia Proposal: An Educational Manifesto (1982).

17. Even in the STEM world, skills such as critical thinking, qualitative and quantitative reasoning, problem-solving and teamwork – all of which are now considered highly valuable – can be better acquired through liberal arts.

18. Alarmingly, the World Index of Moral Freedom 2020 ranks Malaysia 129th among all nations – certainly not something we should be proud of. As a country currently battling for its soul and in desperate need of political stability now more than ever, I daresay we stand to benefit from more focus on humanities.

19. It stands to reason that we should critically reexamine the content of humanities subjects currently on offer. Subjects which are otherwise a repeat of what we have learnt at schools can probably be dropped. We should also continue to heavily invest in STEM alongside humanities, yet not promoting one at the expense of the other.

20. On the question of whether or not we should study less or more humanities, I firmly stand with the latter. However, on the question of reimagining education in Malaysia, we certainly need a separate discussion on the matter.

Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal
06 Oktober 2021

DISCLAIMER: Any view expressed here is done in my personal capacity. It does not reflect or represent the view of any other porty.

Almarhum Tun Abdul Razak, Jabatan Perpaduan & Agenda Pembinaan Negara

Terima kasih kepada Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan & Integrasi Nasional (JPNIN), Tuan Haji Abd Halim bin Hassan dan seluruh pasukan JPNIN atas kerjasama dan maklumat yang diberikan.

Walapun berpindah-pindah kementerian sebelum muncul kembali sebagai sebuah kementeriannya sendiri di bawah pimpinan YB Datuk Halimah Sadique pada tahun 2020, JPNIN yang menjadi tulang belakang portfolio ini dipelopori oleh Perdana Menteri Kedua, Almarhum Tun Abdul Razak sejak penubuhan Jabatan Perpaduan Negara (namanya ketika itu) pada 01 Julai 1969.

Bermula dengan matlamatnya untuk mengendurkan ketegangan hubungan antara kaum memulihkan keharmonian masyarakat pasca tragedi berdarah 13 Mei tahun itu, Jabatan sebenarnya membimbing pembikinan polisi negara secara aktif dan menyeluruh, bermula dengan Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baharu yang menjadi tunjang projek rekayasa semula masyarakat (social reengineering) ketika itu.

Rukun Tetangga yang ditubuhkan oleh Almarhum Tun Abdul Razak, pada 29 Ogos 1975 di bawah Ordinan Darurat Peraturan-peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1969 juga memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan penduduk di kawasan-kawasan tertentu di samping memperkukuh pelaksanaan agenda perpaduan nasional terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar.

Peranan JPNIN dan Kementerian sendiri akan lebih diperkasa dengan kodifikasi pelan-pelan penting, bermula dengan Dasar Perpaduan Negara yang dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Februari 2021. Beberapa pelan tindakan dan modul latihan untuk Rukan Tetangga dan Pendidikan Kanak-kanak (Tabika Perpaduan) juga akan memperkukuh program-program di akar umbi.

Sempena bulan kemerdekaan ini, kita dapat sama-sama memperingati wawasan dan semangat perpaduan yang digagaskan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman dan Almarhum Tun Abdul Razak sewaktu mereka membina negara ini dahulu. Sebagai anggota #KeluargaMalaysia yang begitu besar dan majmuk ini, sama-samalah kita jayakan agenda pembinaan #KeluargaMalaysia yang lebih aman, makmur sentosa. #MalaysiaPrihatin

Wan Ahmad Fayhsal
02 September 2021

KBS Terus Terajui Pembinaan Pewaris Negara Di Hari Muka

Pengalaman saya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), walaupun pendek, amatlah mendewasakan. Walaupun sebuah kementerian yang kecil, KBS sebenarnya memainkan peranan penting dalam pembangunan generasi pelapis negara.

Namun banyak kerja-kerja penting telah tergendala akibat wabak Covid-19 yang menjadi ancaman kepada semua pihak. Pelbagai program yang dirancang tergendala, manakala isu pengangguran dan kesihatan mental di kalangan belia juga semakin meruncing.

Walaupun begitu, anak muda Malaysia tidak pernah mengecewakan. Kumpulan-kumpulan belia mengumpulkan dana, menghasilkan PPE dan produk sanitasi sendiri, menggerakkan program bakul makanan. Pasukan sukarelawan MyVAC di bawah KBS bersabung nyawa di seluruh pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Terbaharu, Majlis Belia OKU Malaysia (yang akan bernaung di bawah Majlis Belia Malaysia) telah secara proaktif didaftarkan sebagai wadah perjuangan untuk orang kelainan upaya (OKU) di kalangan belia. Ramai antara mereka menghadapi cabaran sosioekonomi yang serius dan tergolong dalam kelompok NEET (not in employment, education or training). Di samping itu, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia juga adalah antara NGO yang gigih memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja dalam ekonomi gig.

Berkat sokongan Institut Sukan Negara (ISN) dan pelbagai program di bawah Majlis Sukan Negara (MSN), atlet-atlet kita juga telah menunjukkan prestasi cemerlang di Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini walaupun latihan mereka awalnya sedikit terjejas. Institusi Latihan dan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) melalui Majlis TVET Negara pula akan terus memimpin inovasi dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional khususnya untuk anak muda.

Saya percaya Jabatan Belia dan Sukan NEGARA (JBSN), ILKBS, ISN, MSN dan lain-lain agensi (sukar untuk saya sebutkan semuanya) akan meneruskan segala agenda pembangunan belia dan sukan demi manfaat rakyat seluruhnya. Manakala Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) akan terus memimpin kajian dalam bidangnya di rantau ini dan menyokong pembikinan polisi berasaskan bukti.

Saya amatlah kesal kerana kita tidak sempat untuk mengumumkan pembukaan sektor sukan dan rekreasi untuk kali kedua. Akan tetapi, dengan kadar vaksinasi yang semakin meningkat di seluruh negara, saya percaya bahawa ini dapat dibuat dalam masa terdekat, InsyaAllah.

Semua ini secara keseluruhannya memberikan keyakinan untuk saya terus meletakkan kepercayaan dan harapan pada semangat dan kebolehan anak muda kita untuk sama-sama membentuk negara yang lebih aman dan sentosa dengan kemakmuran yang dapat dikecapi bersama.

Buat para wirawan dan srikandi KBS, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan atas segala kerjasama dan pengorbanan, sama ada sepanjang tempoh kita bersama atau sebelum dan selepasnya. Saya amatlah berbangga kerana dapat bersama-sama kalian walaupun hanya untuk seketika. Selamat maju jaya saya ucapkan dalam perjuangan ini!

WAN AHMAD FAYHSAL BIN WAN AHMAD KAMAL
16 Ogos 2021

  • 1
  • 2

2023 © Wan Fayhsal

Pusat Khidmat Ahli Parlimen Machang
Machang, Kelantan Darul Naim