I view with grave concern of the unacceptably sexist, misogynist remarks thrown at one of our country’s athletes and national pride, Saudari Farah Ann Abdul Hadi.
The Olympic Games is one of the most awaited moments by citizens of the globe, of which I may include the FIFA World Cup and Rugby World Cup (the latter is probably my own personal bias).
In these tough times, it is also a respite from the ongoing crisis, as well a joyous time where everyone regardless of racial, religious or political divide can come together as Malaysians.
If anything, anyone who carries the Jalur Gemilang to the Olympiad deserves not only our full support and prayer, but also the respect and dignity accorded to national flag itself.
To objectify and sexualise any individual is morally repugnant in itself. To do so to a national heroine while she is giving her best on an international stage is utterly disgusting, shamefully malicious, unpatriotic, and deserving only the strongest of condemnation from all Malaysians.
Therefore, I urge all Malaysians to join me in calling out these disgraceful acts. Members of the public who come across such behaviour online are also encouraged to report such acts to the social media platform itself or to the Malaysian Communication and Multimedia Commission under Section 233 of the Communications and Multimedia Act 1988 (Act 588) at: https://aduan.skmm.gov.my/
To Saudari Farah Ann and our other athletes in Tokyo, I would like to assure all of you that Malaysians stand with you. Have no worry and make our nation proud!
1. Sidang kemuncak 7 ekonomi utama dunia (G7 Summit 2021) di Cornwall, United Kingdom minggu ini telah menghasilkan ‘Konsensus Cornwall‘ untuk menggantikan ‘Konsensus Washington‘ [1]. Antara lainnya, Konsensus Cornwall mengiktiraf bahawa krisis akibat Covid-19 adalah luar biasa dan ekonomi dunia harus segera beralih kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) [2].
2. Hal ini penting untuk Malaysia kerana sebagai sebuah negara berdagang (trading nation), ekonomi kita berhubung kait dengan ekonomi global. Bank-bank kita juga bukan hanya ada kepentingan di Malaysia. Mereka adalah sebahagian daripada rangkaian institusi yang membentuk sistem perbankan dan kewangan dunia dan tertakluk kepada undang-undang dan peraturan rentas sempadan dalam kerangka lebih besar.
3. Keengganan bank-bank di Malaysia untuk memberikan moratorium menyeluruh kepada semua peminjam boleh difahami dari sudut ini. Kesan daripada moratorium boleh menjejaskan tahap modal yang direkodkan dalam kunci kira-kira, contohnya di bawah Kerangka Basel (The Basel Framework) [3].
4. Antara perkara yang mungkin dikhuatiri oleh pihak bank ialah MFRS 9 [4] iaitu piawai perakaunan dan laporan kewangan Malaysia yang berasaskan piawaian antarabangsa yang memerlukan bank melaporkan (dalam perbincangan ini) jumlah aset pinjaman yang diberikan kepada pelanggan menggunakan kaedah yang ditetapkan.
5. Mengikut piawaian semasa, sekiranya pelanggan berkemungkinan tidak dapat atau telah dikenalpasti tidak akan dapat membayar kembali pinjaman mereka, maka bank itu harus menanggung kerugian. Perkara ini pernah diutarakan sebelum ini oleh bank-bank tempatan sewaktu fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas [13].
6. Banyak bank di negara kita juga adalah entiti yang tersenarai di Bursa Saham [5]. Jika bank ini mencatatkan kerugian, sudah tentu pemegang saham khususnya institusi pelaburan seperti KWSP, KWAP dan PNB akan turut rugi [14]. Pihak pentadbiran tertinggi pula mungkin hilang kerja.
7. Namun begitu, kita tetap wajar mencari ikhtiar untuk memastikan kebajikan pengguna dan perniagaan terus terjaga, malah pada masa yang sama turut memastikan kestabilan sistem perbankan khususnya dari segi keperluan modal mereka.
8. Dengan menggunakan kuasa-kuasa darurat, Bank Negara Malaysia (BNM) boleh menggantung sementara MFRS 9 dan piawai-piawai atau peraturan-peraturan yang berkaitan. Ini akan membantu bank-bank untuk mengelakkan kerugian serta-merta akibat moratorium untuk semua [13].
9. Di samping itu, untuk menggalakkan bank-bank tidak mengenakan caj tambahan atau melanjutkan tempoh pinjaman [11], BNM juga boleh menasihat kerajaan untuk membenarkan bank-bank ini mendapatkan potongan cukai untuk kos yang terpaksa diserap oleh mereka untuk tempoh tertentu.
10. Bank-bank juga tidak akan rugi kerana tanpa moratorium untuk semua, ramai pelanggan akan bankrap. Ini akan merugikan bank secara total kerana terpaksa menanggung kerugian untuk seluruh nilai pinjaman berbanding hanya kerugian atas bayaran ansuran beberapa bulan sewaktu moratorium diberikan.
11. Jika bank-bank ada masalah aliran tunai atau modal, kerajaan juga mempunyai mandat yang mencukupi untuk membuat suntikan modal dalam matawang ringgit Malaysia. Krisis kewangan pada tahun 1997 dan 2008 membuktikan perkara ini, yang telah menyaksikan inovasi yang melahirkan atau mengembangkan institusi seperti Danaharta [6] dan Khazanah Nasional Berhad [7].
12. Kerajaan juga mempunyai kepakaran di pihak BNM, Suruhanjaya Sekuriti, Khazanah, Perbendaharaan Malaysia dan juga sektor swasta khususnya bank-bank dan firma-firma perakaunan [8] untuk menjayakan operasi ini. Setakat ini juga, lebih 100 persatuan perniagaan di seluruh Malaysia [11] termasuk 32 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Bumiputera [12] telah menyokong pelaksanaan moratorium yang menyeluruh dan automatik.
13. Sebuah jawatankuasa bebas yang dianggotai pakar-pakar perbankan, kewangan dan perakaunan untuk meneliti perkara ini boleh ditubuhkan untuk merangka pelan tindakan dan melaksanakannya pada kadar segera, terutamanya untuk tempoh 6 bulan seterusnya.
14. Langkah proaktif ini juga akan dapat memastikan ekonomi tempatan terus kukuh bertapak, seterusnya Malaysia bergerak di landasan yang betul untuk meneruskan pembinaan sebuah ekonomi yang lestari pasca Covid-19 berdasarkan SDG. Tanpa moratorium yang berpatutan, kebankrapan pada skala besar mungkin berlaku sehingga ekonomi Malaysia merudum lebih teruk dan memerlukan usaha lebih besar untuk dipacu kembali.
15. Ini juga adalah seperti yang digambarkan dalam pengumuman Pelan Pemulihan Negara sebagai jalan keluar daripada krisis akibat Covid-19 oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini [9]. Ini akan turut menjadikan Malaysia sebagai negara yang terawal mendukung aspirasi Konsensus Cornwall ini.
16. Kerajaan tetap komited untuk menjamin kemakmuran yang dapat dikecapi semua secara adil, saksama dan menyeluruh seperti yang termaktub dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 [10].
Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal 13 Jun 2021
[1] G7: The Cornwall Consensus – Build Forward Better
Apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020 lalu, Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO) masih dalam peringkat kajian dan penelitian tentang ciri-ciri virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan wabak Covid-19 [1]. Atas saranan pakar-pakar di peringkat tempatan dan global, PKP menyeluruh telah dilaksanakan [2].
Banyak dapatan kajian telah diperoleh sejak itu, malah WHO sendiri telah beberapa kali mengemaskini garis panduan pencegahan, pengurusan dan rawatan penyakit ini. Terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia turut menyokong penggunaan pelitup muka berganda seperti yang disyorkan oleh Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) [3].
PKP penuh dianggarkan menyebabkan kemerosotan ekonomi sebanyak RM2.4 bilion sehari [4]. Ia telah menyebabkan banyak hotel dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bangkrap manakala ratusan ribu hilang punca pendapatan. Menurut Kementerian Kewangan pula, PKP 2.0 telah menyebabkan RM600 juta sehari susut daripada ekonomi [5]; manakala Public Investment Bank Berhad menganggarkan kos PKP 3.0 adalah sekitar RM300 juta sehari [6].
Kesan buruk terhadap ekonomi berjaya dikurangkan kerana kerajaan mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dan bersasar berdasarkan ‘kaedah masyarakat keseluruhan’ (whole-of-society approach) [7] yang dicadangkan oleh WHO sendiri [8]. Melalui pendekatan ini, kerajaan sentiasa mengadakan libat urus dengan semua pemegang taruh untuk memastikan sebarang langkah yang diambil akan memberikan impak yang paling minimum terutamanya kepada golongan rentan.
Seperti yang ditekankan beberapa kali oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam [9], kerajaan sentiasa mencari keseimbangan antara melindungi nyawa dan punca hidup (life vs livelihood). Sejak awal lagi bermula dengan pakej bantuan PRIHATIN; kemudiannya PENJANA; seterusnya PEMERKASA dan PERMAI; kerajaan cuba menjamin kelangsungan hidup dengan mengekalkan tahap pekerjaan dan ekonomi seoptimum mungkin (keeping jobs and the economy afloat).
Jika ekonomi ditutup sepenuhnya, banyak pengusaha akan terpaksa terpaksa gulung tikar, mungkin untuk selama-lamanya. Pekerja mereka akan hilang tempat bergantung manakala sektor ekonomi yang terkesan juga akan memerlukan masa yang lebih lama untuk pulih. Secara mudahnya, ini adalah pilihan yang kita tidak mampu tanggung dan kerajaan sehabis daya berusaha untuk mengelakkannya.
Dalam keadaan wabak yang semakin menular sehingga melebihi 6,000 jangkitan sehari, kerajaan terpaksa mengambil pendekatan drastik lain untuk memutuskan rantaian penyebaran virus. Kuncinya ialah untuk meminimumkan pergerakan masyarakat yang menjadi vektor virus serta memaksimumkan mitigasi seperti penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka berganda [3].
Untuk tujuan ini, kerajaan memutuskan untuk membenarkan majoriti sektor ekonomi untuk terus beroperasi namun tertakluk kepada tatacara operasi piawai (standard operating procedure atau SOP) yang lebih ketat dan sentiasa dikemaskini berdasarkan bukti-bukti saintifik terbaharu. Inilah PKP 3.0 yang berkuatkuasa minggu ini.
‘Norma baharu’ seperti ini terpaksa diteruskan sehingga kadar jangkitan dapat dibendung serta masyarakat mencapai imuniti kelompok yang hanya boleh dicapai melalui melalui strategi vaksinasi massa yang berkesan. Jutaan dos vaksin daripada pelbagai sumber kini sedang diedarkan pada kadar lebih 80,000 suntikan sehari, manakala lebih 2.2 juta penduduk telah menerima vaksin [11]. Jika strategi semasa berjaya, Malaysia mungkin mampu mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini [12].
Namun begitu, semua ini hanya berjaya dicapai akibat beberapa langkah berani yang diambil sejak awal 2021. Utama sekali ialah perisytiharan darurat yang telah membolehkan proses perolehan vaksin, kemudahan fizikal dan penggemblengan sumber dibuat dengan lebih pantas. Ini turut merangkumi penggunaan aset-aset swasta seperti hospital dan peralatan perubatan [10].
Sementara itu, rakyat Malaysia diseru untuk terus patuh SOP dan berada di rumah secara sukarela sementara vaksin dapat diedarkan dengan lebih meluas. Inilah satu-satunya cara untuk kita meneruskan kehidupan dengan impak minimum terhadap punca rezeki masyarakat umum.
Akan tetapi, jika kita terus leka, kerajaan mungkin terpaksa mengambil pendekatan yang lebih keras. Jika ini berlaku, nescaya rakyat akan lebih sengsara. Mudah-mudahan dijauhkan.
WAN AHMAD FAYHSAL BIN WAN AHMAD KAMAL Ketua ARMADA Nasional, merangkap Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional 24 Mei 2021
RUJUKAN
[1] WHO Director-General’s opening remarks at the media briefing on COVID-19 – 11 March 2020
Artikel terlebih dahulu disiarkan oleh Berita Harian pada 5 Ogos 2019.
PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bakal menyaksikan warganegara berusia 18 tahun dan ke atas akan dibenarkan mengundi.
Rasionalnya sering kali diperkatakan ialah kempen sinonim dengan singkatan ‘undi 18’ ini adalah pemerkasaan kepada orang muda dalam menentukan hala tuju negara.
Benar dengan usia 18 tahun masih belum sempurna dalam memahami situasi politik negara. Rata-rata hanya mampu fokus kepada pencapaian akademik dan pekerjaan bagi mengubah nasib diri dan keluarga.
Pelajar pada peringkat menengah rendah dan tinggi kurang menunjukkan minat terhadap sistem pemerintahan negara dan politik. Justeru, mana mungkin kita meletakkan beban pada bahu mereka untuk memilih pemerintah yang akan menerajui negara.DISYORKAN UNTUK ANDA
Harus diingat menjelang PRU-15, dianggar 15 juta atau 66 peratus pengundi berusia 18 hingga 40 tahun.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menegaskan kerajaan harus membina pathway (landasan) kondusif dalam proses mematangkan golongan muda.
Jika landasan tidak dibina, selamanya orang muda akan terus dikesampingkan dalam proses pendemokrasian negara. Logiknya, jika orang muda (seawal usia 18 tahun) dibenarkan mengundi, akan terbit kesedaran untuk mereka memahami sistem pemerintahan negara.
Seiring hasrat membina persekitaran kondusif, ‘undi 18’ boleh dilihat sebagai metodologi memperkasa orang muda.
Jadi, ‘undi 18’ memerlukan perancangan strategik yang lengkap dan menyeluruh agar rasional ini dapat diterjemahkan dalam bentuk pulangan (pelaburan) kepada negara. Lantas beberapa rangka kerja harus diambil perhatian.
Dapatan Indeks Belia Malaysia 2017 oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) mendapati pembabitan dan kecaknaan belia dalam menyantuni isu politik masih rendah.
Rata-rata kurang menunjukkan minat terhadap situasi politik negara menyebabkan kurangnya kesedaran untuk mengundi. Alasan diberikan ialah politik sebagai entiti yang tidak berkait rapat dengan mereka dan hanya membuang masa.
Ketidakpercayaan kepada kerajaan dan ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) antara faktor penyumbang senario ini.
Kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) harus mengenal pasti tahap kecenderungan berpolitik dalam kalangan orang muda, menganalisa dan mengemukakan jalan jalan penyelesaian bagi sebarang tindakan.
Memandangkan seawal usia 18 tahun orang muda dibenarkan mengundi, maka pengetahuan harus dibekalkan agar pembabitan mereka dalam PRU benar-benar menyumbang kepada kebaikan negara.
Subjek Sejarah Malaysia harus diberi penekanan dan perlunya ada fokus terhadap perjalanan negara pasca merdeka. Kefahaman bukan hanya berdasarkan teori dan hafalan, tetapi memberi penekanan terhadap pemahaman dan penghayatan. To love Malaysia is to know Malaysia.
Elemen kenegaraan harus diasimilasikan bersama subjek Sejarah pada peringkat menengah tinggi. Tanggungjawab sebagai warganegara harus diterapkan mengikut acuan lima prinsip Rukun Negara. Ini bukan proses doktrinisasi terhadap sesebuah agenda, sebaliknya usaha mengembalikan nostalgia proses pembinaan negara di awal kemerdekaan sehingga kini.
Kita perlu menghidupkan Rakan Muda sebagai satu inisiatif kebersamaan orang muda mengikut tema bersesuaian jiwa mereka.
Merapatkan jurang pelajar bandar dan luar bandar. Penilaian orang muda di kawasan bandar pasti berbeza dengan kemahuan rakan di luar bandar.
Wawasan, hala tuju dan cabaran juga pasti tidak sama antara keduanya. Sekiranya kita membiarkan jurang ini wujud dan terus melebar, PRU-15 gagal mempersembahkan suara orang muda yang kolektif kerana ia akan menampilkan pelbagai pemboleh ubah di setiap sudut.
Orang muda juga tidak dapat disatukan dalam proses pendemokrasian negara. Rentetan itu, kerajaan yang akan dibentuk gagal memahami hasrat golongan muda atau merencana agenda pembangunan bagi golongan sasar itu.
Program cakna politik kenegaraan dan pembentukan sahsiah pelajar. Kebanyakan parti politik sudah melaksanakan ‘sekolah politik’ sesuai dengan keperluan parti dalam merekrut pelapis. Hasilnya, pendidikan diberikan menjurus ke arah kekuatan parti dan kurang memberi penekanan terhadap Malaysia serta proses pembinaan negara.
Sebagai badan kerajaan, terutama KBS (dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan SPR) harus mengambil inisiatif dalam memberikan silibus politik kenegaraan jauh melangkaui politik kepartian.
Pembentukan sahsiah dan jati diri Malaysia perlu dipupuk. What does it take to be a good Malaysian? Am I Malaysian?
Semestinya pelajar tertanya-tanya dan kita seharusnya menyediakan naratif yang efektif kepada mereka.
Orang muda juga harus membuktikan umur bukan kayu ukur kematangan dalam menyumbang kepada negara. Maka tugas selanjutnya menuntut kita menyediakan platform kukuh bagi mereka untuk mengundi.
Kita tidak mahu perubahan Perlembagaan ini dilihat sebagai tindakan populis pemerintah, sebaliknya sebagai mekanik ke arah pembinaan negara lebih dinamik, seimbang dan syumul.
Penulis adalah Ketua Koordinator Akademi Harimau Asia
PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KETIGA, PARLIMEN KEEMPAT BELAS
DARIPADA : WAN AHMAD FAYHSAL BIN WAN AHMAD KAMAL [PERIKATAN NASIONAL – BERSATU] TARIKH : 29 DISEMBER 2020 (SELASA)
Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 26(3): “Bahawasanya Dewan yang mulia ini menyanjung tinggi segala jasa Profesor Diraja, Almarhum Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid kepada ekonomi dan pembangunan Malaysia khususnya umat Islam dan kaum bumiputera, serta Almarhumah Tun Rahah binti Mohamed Noah kepada perpaduan negara.”
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih saya ucapkan atas peluang ini. Hari-hari awal Malaysia cukup mencabar, antaranya diuji dengan perpisahan dengan Singapura pada tahun 1965, diikuti dengan titik hitam Tragedi 13 Mei 1969. Namun semua ini telah menguatkan iltizam, malah memaksa kita menjadi sebuah negara yang mampu berdiri sendiri. Di sinilah kita harus berterima kasih kepada dua sosok agung:
Pertama, Almarhumah Tun Rahah binti Mohamed Noah, juga suaminya Almarhum Tun Abdul Razak bin Hussein.
Kedua, Almarhum Prof Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid.
Almarhum Tun Razak tidak perlu diperkenalkan lagi. Namanya terpahat di mana sahaja, daripada Universiti Tun Abdul Razak di Malaysia, hinggalah ke Tun Abdul Razak Research Centre di United Kingdom yang membuat kajian terkini dalam teknologi getah yang bertaraf dunia. Begitulah hebatnya Bapa Pembangunan kita.
Kurang dibincangkan ialah Almarhumah Tun Rahah, isteri kepada Perdana Menteri kedua dan bonda kepada yang keenam. Anak kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang pertama ini bertuah kerana mendapat pendidikan Inggeris, suatu keistimewaan untuk kaum wanita ketika itu. Seperti yang pernah disebut oleh tokoh Perancis Napoleon Bonaparte, kaum ibu yang berpendidikan menjamin pembinaan negara dan peradaban. Hasilnya, kita mendapat seorang lagi Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib dan juga tokoh perbankan Asia Tenggara, Dato’ Sri Nazir Razak.
Namun begitu, legasi ini tidak boleh dipisahkan daripada seorang lagi gergasi pembangunan negara iaitu Almarhum Prof Diraja Ungku Aziz. Di bawah pimpinannya, Dasar Ekonomi Baharu telah berjaya membasmi kemiskinan tegar, menyusun atur kembali struktur sosio-ekonomi negara, dan membantu mengangkat kaum bumiputera yang ketinggalan berbanding kaum lain ketika itu.
Walaupun kurang diwacanakan hari ini, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) – yang dirasmikan oleh Almarhum Tun Razak – juga adalah gagasan Almarhum Ungku Aziz. Dengan pemusatan sumber dan sokongan ekosistem, badan-badan koperasi lain di bawahnya memesatkan pembangunan ekonomi di peringkat akar umbi, khususnya untuk bumiputera, kaum minoriti dan penduduk luar bandar. Tidak dilupakan juga peranan Tabung Haji dan Bank Islam yang membuka pintu kepada revolusi perbankan dan kewangan Islam untuk dekad-dekad selepasnya.
Nama Pak Ungku jua tidak dapat dipisahkan daripada Universiti Malaya, institusi pendidikan tinggi (IPT) perdana yang dibawanya dari Singapura ketika itu ke Kuala Lumpur. Pak Ungku menjadi orang Malaysia pertama yang menjawat Naib Canselor. Hasil wawasannya juga, bermula daripada bidang bahasa (beliau adalah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pertama) dan ekonomi yang merupakan kepakarannya, Universiti Malaya kini adalah yang ke-59 terbaik dunia berdasarkan QS World University Ranking 2021. Pusat-pusat kajian rentas bidang seperti Institut Kong Zi, Insitut Asia-Eropah dan Institute for Advanced Studies terus menghasilkan kertas-kertas kajian yang menjadi rujukan global.
Pemikiran Almarhum dan generasinya amatlah melangkaui zaman dan di luar kebiasaan, maka membuka paradigma baharu dalam dunia pemikiran. Inovasi yang membumi seperti ‘indeks sarung’ adalah antara kayu ukur alternatif untuk menilai tahap sosio-ekonomi masyarakat sedangkan pihak lain masih menggunakan anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar per kapita atau pendapatan sehari.
Sezaman dengannya, Allahyarham Syed Hussein Alatas menukilkan adikaryanya, ‘Mitos Pribumi Malas’ yang masih menjadi rujukan bidang sosiologi termasuk gerakan intelek arus perdana iaitu penyahjajahan (dengan izin: decolonialism). Ahli falsafah ulung negara, Profesor Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas juga menghasilkan ‘Islam and Secularism’ dan ‘The Concept of Education in Islam’ yang seterusnya menjadi asas pembangunan konsep pengislaman ilmu dan pembangunan institusi-institusi Islam, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.
Mereka semuanya juga bersaudara, malah berkait rapat dengan Kerabat Diraja Johor. Walaupun saya sebutkan dua nama sahaja iaitu Almarhumah Tun Rahah dan Almarhum Ungku Aziz yang baru sahaja meninggalkan kita, kita juga sebenarnya terhutang budi kepada seluruh generasi mereka.
Saya menyeru agar Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negara seluruhnya, bagi pihak negara Malaysia ini, agar kita dapat merakamkan setinggi-tinggi perhargaan kepada Almarhum Ungku Aziz, Almarhumah Tun Rahah serta generasi mereka atas segala sumbangan yang tidak terperi dengan kalimah semata-mata kepada kemakmuran dan perpaduan negara.
Tanpa mereka, Malaysia yang hari ini tiada. Maka wajarlah agar jasa mereka diabadikan oleh Dewan yang mulia ini untuk tatapan dan ingatan anak watan sepanjang zaman.
Akhir sekali, keenam, adalah kesinambungan. Seorang penulis dan ahli teologi terkenal Amerika Syarikat pernah berkata, “A politician thinks of the next election; a statement of the next generation. A politician looks for the success of his party; a statesman for that of his country. The statesman wishes to steer, while the politician is satisfied to drift.”
(Terjemahan kasarnya: Politikus hanya memikirkan kemenangan pilihanraya berikutnya, seorang negarawan memikirkan soal generasi selepasnya. Politikus hanya mengusahakan kejayaan parti politiknya, seorang negarawan memikirkan kejayaan negaranya. Seorang negarawan akan cuba mengemudi bahtera, manakala politikus bisa sahaja hanyut dibawa arus.”)
Malah jika diabaikan adikarya John Locke, seorang pemikir Inggeris pada zaman Pencerahan Agung Eropah sekalipun, ramai pemikir dan pengalisis politik moden yang berpendapat bahawa sistem beraja (berperlembagaan) adalah sistem yang paling stabil dan terbaik dalam sejarah manusia. Revolusi Perancis telah diulang beberapa kali namun hari ini, walaupun sebagai sebuah negara republik, masih mengekalkan elemen yang menjadikan presiden mereka sebagai seorang ‘republican monarch’.
Seorang lagi pemikir dalam bidang ini ialah Walter Bagehot yang memperkenalkan konsep pembahagian negara kepada dua bahagian iaitu antara ‘the dignified’ dan ‘the efficient’. Ini menjadi asas teori perlembagaan banyak negara demokrasi hari ini.
Bahagian ‘efficient’ perlu bergerak pantas dan sentiasa berubah untuk menguruskan hal-hal seharian yang leceh. Peranan ini dimainkan oleh ahli politik dan kakitangan kerajaan umumnya. Bahagian ‘dignified’ pula bersifat kekal dan konservatif serta tidak mudah berganjak, namun ia menjadi pasak yang memastikan kestabilan dan kesinambungan warisan sesebuah negara dan tamadun. Itulah institusi negara seperti institusi beraja dan agama serta tradisi yang diwakilinya.
Kedua-dua bahagian ini berinteraksi antara kedua-duanya dan membolehkan sesebuah negara atau institusi itu terus maju dan membangun namun tidak pula melupakan asal-usul, tradisi dan falsafah yang membentuk identiti dan memberi tujuan (maqasid) institusi itu. Jika kita lihat kembali kepada tamadun manusia, apakah institusi, tradisi atau warisan yang masih kekal hingga ke hari ini; yang menjadi asas kepada masyarakat moden?
(i) Tradisi agama sama ada Yahudi, Hindu, Kristian atau Islam: Adakah agama Kristian dapat tersebar luas di Eropah tanpa sokongan Empayar Rom, atau agama Islam tanpa sokongan Kerajaan Melayu Melaka?
(ii) Ilmu dan falsafah: Sama ada idea demokrasi Yunani atau Konfusianisme, bagaimana mereka boleh wujud hingga ke zaman moden jika ia tidak menjadi agama rasmi negara dan dipayungi pemerintahnya? Adakah zaman kegemilangan Islam di bawah pemerintahan Abbasiyyah dan Pencerahan Agung Eropah akan berlaku tanpa sokongan daripada pihak berkuasa?
(iii) Dokumen dan rekod: Kitab-kitab suci biasanya dikumpulkan dan ditulis atas perintah pemimpin negara. Banyak dokumen seperti Magna Carta juga hanya wujud hari ini kerana disimpan dalam perpustakaan atau gedung rekod diraja. Walhal sejarah Malaysia dan Nusantara juga banyak disimpan dalam arkib China atau Vatican.
Jika perkara-perkara di atas diletakkan pada politikus, semuanya mungkin digadaikan sesuka hati semata-mata untuk menang peperangan atau pilihanraya. Namun pelbagai nikmat yang kita warisi hari ini adalah hasil daripada warisan nenek moyang kita yang berwawasan jauh, dan sampai kepada kita melalui institusi-institusi seperti sistem beraja.
Kelebihan sistem ini boleh dilihat di beberapa negara moden yang kaya dan demokratik; yang memilih untuk mengekalkan sistem beraja seperti United Kingdom, Belgium, Luxembourg, Sweden, Norway dan Jepun. Sekalipun telah dua kali diuji dengan perang dunia, negara-negara ini memilih untuk mengekalkan pemerintahan beraja. Malah negara Sepanyol kembali menabalkan raja mereka setelah tamatnya pemerintahan diktator Francisco Franco. Akibat kucar-kacir pentadbiran di Amerika Syarikat sekarang, ramai pemikir dan penulis mereka mempopularkan kembali idea agar negara itu mengambil elemen-elemen terbaik sistem monarki.
Kerajaan jatuh dan bangkit, pemimpin datang dan pergi, namun tamadun dan tradisi yang diwakilinya boleh kekal dari satu generasi ke generasi berikutnya. Akan tetapi, semua ini hanya boleh dicapai jika ‘wali’ yang menjaganya mempunyai iltizam untuk menjayakan kesinambungan itu. Sepertimana institusi diraja Jepun menjadi wali kepada bahasa, budaya dan agama Shinto yang menjadi teras bangsa Jepun sejak Maharaja Jimmu, begitu jugalah institusi raja-raja Melayu kita sejak Merong Mahawangsa dan Sri Tri Buana.
Atas sebab-sebab di atas, saya cenderung untuk mengatakan bahawa seperti negara-negara yang saya sebutkan di atas, kunci kestabilan dan kemakmuran Malaysia juga adalah di bawah pemerintahan beraja. Maka kita sebagai rakyat harus bersyukur kerana Malaysia ditakdirkan merdeka dan berdaulat di bawah naungan raja-raja. Secara relatif, Malaysia adalah sebuah negara yang stabil dari segi politiknya, demokratik, makmur ekonominya dan bebas rakyatnya. Mudah-mudahan nikmat ini dapat dikekalkan untuk generasi-generasi mendatang.
Ini adalah sedikit sebanyak renungan yang dapat saya kongsikan daripada sekilas pandang Singgahsana Diraja di Istana Melawati tempoh hari. Jika mahu diceritakan, sebenarnya ada banyak lagi pengajaran dan ilmu pengetahuan yang boleh ditimba daripada warisan sistem beraja kita. InsyaAllah, jika ada keluangan, kita boleh teruskan perkongsian di masa akan datang.
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru agar kita sebagai rakyat Malaysia dapat sama-sama memanjatkan doa agar wabak Covid-19 ini dapat diatasi dengan seberapa segera agar rakyat dapat mengecapi nikmat bernegara di bawah payung Seri Paduka Baginda sepenuhnya.
Lembut sutera indah warnanya, Elok diperaga rupawan mulia, Raja berdaulat di singgahsana, Aman rakyat dipayungi baginda.
Terang langit berlalu mendung, Terang bulan melimpah cahaya, Agama dijulang adat dijunjung, Sepakat rakyat utuhlah negara.
Alhamdulillah, genap sebulan saya berdiri di hadapan singgahsana ini ketika menerima pengurniaan suratcara pelantikan sebagai Timbalan Menteri di bawah Pentadbiran YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebulan yang begitu mendidik dan membuka banyak peluang untuk mencurahkan bakti kepada Malaysia yang tercinta dan rakyatnya.
Balairong Seri di Istana Melawati ini bukanlah ruang mengadap Kebawah Duli yang terbesar atau paling megah, namun singgahsananya masih dibina dengan begitu rapi mengikut simbolisme dan adat-istiadat yang di atasnya berdirinya institusi diraja.
Sebagai contoh, jika diperhatikan, di atas singgahsana ada terukir ayat ke-26 dari kitab suci al-Quran, Surah Al Imran yang disusun sebagai sebuah payung yang melitupi singgahsana. Ayat tersebut adalah seperti di bawah dengan mafhumnya juga:
“Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Antara erti simbolisme ini ialah walaupun raja itu adalah seorang pemerintah tertinggi di muka bumi, di atas baginda masih ada kuasa agung yang berhak untuk memberi dan mengambil kembali kuasa menurut takdir-Nya. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa setinggi-tinggi pohon kelapa, tinggi lagi langit di atasnya.
Sesebuah Pentadbiran juga dikatakan ‘Kerajaan Seri Paduka Baginda’ atau ‘His Majesty’s Government’. Kita membentuk sesebuah kerajaan atas nama Kebawah Duli Yang di-Pertuan. Suratcara pelantikan, sumpah taat setia dan sumpah simpan rahsia juga adalah kurnia Kebawah Duli. Setiap anggota Pentadbiran, kecuali YAB Perdana Menteri, juga berkhidmat selagi mana ia mendapat keyakinan Kebawah Duli (we serve at the pleasure of the king).
Kedua, bahawasanya kuasa itu adalah suatu rezeki yang sementara, bukanlah sesuatu yang kekal. Raja-raja sekalipun bertakhta selagi ada rezeki kesihatan dan umur. Apatah lagi ahli politik yang boleh direhatkan oleh rakyat lima tahun sekali? Yang kekal hanyalah Allah yang sifatnya al-Baqa’ atau yang abadi.
Ketiga, kuasa itu diberikan, namun boleh hilang begitu sahaja. Menteri atau pegawai tinggi sekalipun, kedudukan yang dikecapi ini adalah anugerah Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri dan boleh dilucutkan jika diperkenan. Bagi anggota Pentadbiran seperti saya juga, adalah penting untuk kami mengekalkan prestasi tinggi agar kerajaan terus mendapat keyakinan dan mandat daripada rakyat. Ini adalah batasan dan hakikat yang harus kami insafi.
Keempat, kuasa dan kedudukan ini adalah suatu amanah yang begitu berat dan perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Jika tanggungjawab sebagai wakil rakyat sudah begitu besar sehingga tidak menang tangan dibuatnya, apatah lagi bebanan yang terpaksa digalas oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti yang kita saksikan awal bulan lepas.
Pemilihan calon Perdana Menteri pun dibuat dengan begitu teliti, hampir seminggu lamanya. Keputusan kemudiannya diambil oleh baginda secara musyawwarah bersama-sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu. Keputusan-keputusan pemerintahan juga diputuskan oleh Jemaah Menteri secara kolektif dan bukannya dibuat sesuka hati. Amanah yang begitu besar itu pastilah wajib disempurnakan dengan sebaik-baiknya.
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
Kelima, suatu sistem itu hanya boleh wujud jika aturannya tertib dan setiap komponen memainkan peranannya. Raja ada peranan dan tugasnya, begitu juga dengan rakyat dan masyarakat.
Tamadan Melayu ini terasnya adalah raja-raja Melayu yang menjadi tunjang identiti Melayu itu sendiri. Namun begitu, raja itu juga wujud kerana rakyatnya, seperti yang ditegaskan dalam ‘kontrak sosial’ antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun dalam Sejarah Melayu itu.
Tersebarnya Islam di alam Melayu juga adalah kerana dipayungi raja-raja. Setelah Tanah Melayu melalui transisi kepada sistem raja berperlembagaan (constitutional monarchy), raja masih kekal memayungi agama dan rakyat.
Aturan boleh diubah, perjanjian boleh dipinda. Namun tanpa kedua-duanya dan ketertiban dalam menjaganya, sebuah sistem tidak dapat berfungsi dan tidak akan stabil. Maka adalah penting untuk kita menghormati ketertiban dan memainkan peranan masing-masing dengan baik.