Timbalan Menteri Perpaduan Negara | Ahli Dewan Negara | Ketua ARMADA Nasional

From the Office of Wan Ahmad Fayhsal

Menyoroti Intipati ‘Bicara Khas Bersama Perdana Menteri’ Berkenaan PKP 3.0


Monday, May 24
  1. Apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020 lalu, Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO) masih dalam peringkat kajian dan penelitian tentang ciri-ciri virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan wabak Covid-19 [1]. Atas saranan pakar-pakar di peringkat tempatan dan global, PKP menyeluruh telah dilaksanakan [2].

  2. Banyak dapatan kajian telah diperoleh sejak itu, malah WHO sendiri telah beberapa kali mengemaskini garis panduan pencegahan, pengurusan dan rawatan penyakit ini. Terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia turut menyokong penggunaan pelitup muka berganda seperti yang disyorkan oleh Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) [3].

  3. PKP penuh dianggarkan menyebabkan kemerosotan ekonomi sebanyak RM2.4 bilion sehari [4]. Ia telah menyebabkan banyak hotel dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bangkrap manakala ratusan ribu hilang punca pendapatan. Menurut Kementerian Kewangan pula, PKP 2.0 telah menyebabkan RM600 juta sehari susut daripada ekonomi [5]; manakala Public Investment Bank Berhad menganggarkan kos PKP 3.0 adalah sekitar RM300 juta sehari [6].

  4. Kesan buruk terhadap ekonomi berjaya dikurangkan kerana kerajaan mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dan bersasar berdasarkan ‘kaedah masyarakat keseluruhan’ (whole-of-society approach) [7] yang dicadangkan oleh WHO sendiri [8]. Melalui pendekatan ini, kerajaan sentiasa mengadakan libat urus dengan semua pemegang taruh untuk memastikan sebarang langkah yang diambil akan memberikan impak yang paling minimum terutamanya kepada golongan rentan.

  5. Seperti yang ditekankan beberapa kali oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam [9], kerajaan sentiasa mencari keseimbangan antara melindungi nyawa dan punca hidup (life vs livelihood). Sejak awal lagi bermula dengan pakej bantuan PRIHATIN; kemudiannya PENJANA; seterusnya PEMERKASA dan PERMAI; kerajaan cuba menjamin kelangsungan hidup dengan mengekalkan tahap pekerjaan dan ekonomi seoptimum mungkin (keeping jobs and the economy afloat).

  6. Jika ekonomi ditutup sepenuhnya, banyak pengusaha akan terpaksa terpaksa gulung tikar, mungkin untuk selama-lamanya. Pekerja mereka akan hilang tempat bergantung manakala sektor ekonomi yang terkesan juga akan memerlukan masa yang lebih lama untuk pulih. Secara mudahnya, ini adalah pilihan yang kita tidak mampu tanggung dan kerajaan sehabis daya berusaha untuk mengelakkannya.

  7. Dalam keadaan wabak yang semakin menular sehingga melebihi 6,000 jangkitan sehari, kerajaan terpaksa mengambil pendekatan drastik lain untuk memutuskan rantaian penyebaran virus. Kuncinya ialah untuk meminimumkan pergerakan masyarakat yang menjadi vektor virus serta memaksimumkan mitigasi seperti penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka berganda [3].

  8. Untuk tujuan ini, kerajaan memutuskan untuk membenarkan majoriti sektor ekonomi untuk terus beroperasi namun tertakluk kepada tatacara operasi piawai (standard operating procedure atau SOP) yang lebih ketat dan sentiasa dikemaskini berdasarkan bukti-bukti saintifik terbaharu. Inilah PKP 3.0 yang berkuatkuasa minggu ini.

  9. ‘Norma baharu’ seperti ini terpaksa diteruskan sehingga kadar jangkitan dapat dibendung serta masyarakat mencapai imuniti kelompok yang hanya boleh dicapai melalui melalui strategi vaksinasi massa yang berkesan. Jutaan dos vaksin daripada pelbagai sumber kini sedang diedarkan pada kadar lebih 80,000 suntikan sehari, manakala lebih 2.2 juta penduduk telah menerima vaksin [11]. Jika strategi semasa berjaya, Malaysia mungkin mampu mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini [12].

  10. Namun begitu, semua ini hanya berjaya dicapai akibat beberapa langkah berani yang diambil sejak awal 2021. Utama sekali ialah perisytiharan darurat yang telah membolehkan proses perolehan vaksin, kemudahan fizikal dan penggemblengan sumber dibuat dengan lebih pantas. Ini turut merangkumi penggunaan aset-aset swasta seperti hospital dan peralatan perubatan [10].

  11. Sementara itu, rakyat Malaysia diseru untuk terus patuh SOP dan berada di rumah secara sukarela sementara vaksin dapat diedarkan dengan lebih meluas. Inilah satu-satunya cara untuk kita meneruskan kehidupan dengan impak minimum terhadap punca rezeki masyarakat umum.

  12. Akan tetapi, jika kita terus leka, kerajaan mungkin terpaksa mengambil pendekatan yang lebih keras. Jika ini berlaku, nescaya rakyat akan lebih sengsara. Mudah-mudahan dijauhkan.

WAN AHMAD FAYHSAL BIN WAN AHMAD KAMAL
Ketua ARMADA Nasional, merangkap
Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional
24 Mei 2021

RUJUKAN

[1] WHO Director-General’s opening remarks at the media briefing on COVID-19 – 11 March 2020

https://www.who.int/director-general/speeches/detail/who-director-general-s-opening-remarks-at-the-media-briefing-on-covid-19—11-march-2020

[2] How is WHO responding to COVID-19?

https://www.who.int/emergencies/diseases/novel-coronavirus-2019/interactive-timeline

[3] ‘Double masking’ Menurut CDC AS

https://kpkesihatan.com/2021/05/23/panduan-ringkas-pemakaian-pelitup-muka-berganda-double-face-mask-oleh-centers-for-disease-control-and-prevention-cdc-amerika-syarikat/

[4] Malaysia loses RM2.4 billion a day throughout MCO

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/malaysia-loses-rm2-4-billion-day-throughout-mco-prime-minister-241019

[5] MCO 2.0 to cost Malaysia RM600m daily, Zafrul says

https://www.thestar.com.my/business/business-news/2021/01/19/mco-20-to-cost-malaysia-rm600m-daily-zafrul-says


[6] PIVB: MCO 3.0 expected to cost Malaysia RM300 million daily

https://www.thesundaily.my/home/mco-30-expected-to-cost-malaysia-rm300-million-daily-pivb-AK7851244

[7] The Whole of Society Approach

http://sdghelpdesk.unescap.org/e-library/whole-society-approach-levels-engagement-and-meaningful-participation-different

[8] COVID19: WHO calls for stronger whole of society approach in South-East Asia Region

https://www.who.int/southeastasia/news/detail/03-04-2020-covid19-who-calls-for-stronger-whole-of-society-approach-in-south-east-asia-region

[9] Awani: Bicara Khas Bersama Perdana Menteri | 23 Mei 2021

[10] Proklamasi Darurat: Hospital swasta setuju beri kemudahan fasiliti

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/proklamasi-darurat-hospital-swasta-setuju-beri-kemudahan-fasiliti-283155

[11] Big boost in Malaysia’s vaccination rate

https://www.thestar.com.my/news/nation/2021/05/22/big-boost-in-malaysia039s-vaccination-rate

[12] PM yakin sasaran imuniti kelompok dapat dicapai sebelum akhir tahun ini

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pm-yakin-sasaran-imuniti-kelompok-dapat-dicapai-sebelum-akhir-tahun-ini-299489

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2021 © Wan Fayhsal

KEMENTERIAN PERPADUAN NEGARA
Blok F9, Parcel F, Presint 1, 62000, Putrajaya