Timbalan Menteri Perpaduan Negara | Ahli Dewan Negara | Ketua ARMADA Nasional

From the Office of Wan Ahmad Fayhsal

Mencari Kerangka Untuk Berkongsi Manfaat Moratorium Untuk Semua


Sunday, Jun 13

1. Sidang kemuncak 7 ekonomi utama dunia (G7 Summit 2021) di Cornwall, United Kingdom minggu ini telah menghasilkan ‘Konsensus Cornwall‘ untuk menggantikan ‘Konsensus Washington[1]. Antara lainnya, Konsensus Cornwall mengiktiraf bahawa krisis akibat Covid-19 adalah luar biasa dan ekonomi dunia harus segera beralih kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) [2].

G7 Economic Resilience Panel 2021

2. Hal ini penting untuk Malaysia kerana sebagai sebuah negara berdagang (trading nation), ekonomi kita berhubung kait dengan ekonomi global. Bank-bank kita juga bukan hanya ada kepentingan di Malaysia. Mereka adalah sebahagian daripada rangkaian institusi yang membentuk sistem perbankan dan kewangan dunia dan tertakluk kepada undang-undang dan peraturan rentas sempadan dalam kerangka lebih besar.

3. Keengganan bank-bank di Malaysia untuk memberikan moratorium menyeluruh kepada semua peminjam boleh difahami dari sudut ini. Kesan daripada moratorium boleh menjejaskan tahap modal yang direkodkan dalam kunci kira-kira, contohnya di bawah Kerangka Basel (The Basel Framework) [3].

4. Antara perkara yang mungkin dikhuatiri oleh pihak bank ialah MFRS 9 [4] iaitu piawai perakaunan dan laporan kewangan Malaysia yang berasaskan piawaian antarabangsa yang memerlukan bank melaporkan (dalam perbincangan ini) jumlah aset pinjaman yang diberikan kepada pelanggan menggunakan kaedah yang ditetapkan.

Malaysian Accounting Standards Board

5. Mengikut piawaian semasa, sekiranya pelanggan berkemungkinan tidak dapat atau telah dikenalpasti tidak akan dapat membayar kembali pinjaman mereka, maka bank itu harus menanggung kerugian. Perkara ini pernah diutarakan sebelum ini oleh bank-bank tempatan sewaktu fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas [13].

6. Banyak bank di negara kita juga adalah entiti yang tersenarai di Bursa Saham [5]. Jika bank ini mencatatkan kerugian, sudah tentu pemegang saham khususnya institusi pelaburan seperti KWSP, KWAP dan PNB akan turut rugi [14]. Pihak pentadbiran tertinggi pula mungkin hilang kerja.

7. Namun begitu, kita tetap wajar mencari ikhtiar untuk memastikan kebajikan pengguna dan perniagaan terus terjaga, malah pada masa yang sama turut memastikan kestabilan sistem perbankan khususnya dari segi keperluan modal mereka.

8. Dengan menggunakan kuasa-kuasa darurat, Bank Negara Malaysia (BNM) boleh menggantung sementara MFRS 9 dan piawai-piawai atau peraturan-peraturan yang berkaitan. Ini akan membantu bank-bank untuk mengelakkan kerugian serta-merta akibat moratorium untuk semua [13].

9. Di samping itu, untuk menggalakkan bank-bank tidak mengenakan caj tambahan atau melanjutkan tempoh pinjaman [11], BNM juga boleh menasihat kerajaan untuk membenarkan bank-bank ini mendapatkan potongan cukai untuk kos yang terpaksa diserap oleh mereka untuk tempoh tertentu.

10. Bank-bank juga tidak akan rugi kerana tanpa moratorium untuk semua, ramai pelanggan akan bankrap. Ini akan merugikan bank secara total kerana terpaksa menanggung kerugian untuk seluruh nilai pinjaman berbanding hanya kerugian atas bayaran ansuran beberapa bulan sewaktu moratorium diberikan.

11. Jika bank-bank ada masalah aliran tunai atau modal, kerajaan juga mempunyai mandat yang mencukupi untuk membuat suntikan modal dalam matawang ringgit Malaysia. Krisis kewangan pada tahun 1997 dan 2008 membuktikan perkara ini, yang telah menyaksikan inovasi yang melahirkan atau mengembangkan institusi seperti Danaharta [6] dan Khazanah Nasional Berhad [7].

12. Kerajaan juga mempunyai kepakaran di pihak BNM, Suruhanjaya Sekuriti, Khazanah, Perbendaharaan Malaysia dan juga sektor swasta khususnya bank-bank dan firma-firma perakaunan [8] untuk menjayakan operasi ini. Setakat ini juga, lebih 100 persatuan perniagaan di seluruh Malaysia [11] termasuk 32 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Bumiputera [12] telah menyokong pelaksanaan moratorium yang menyeluruh dan automatik.

13. Sebuah jawatankuasa bebas yang dianggotai pakar-pakar perbankan, kewangan dan perakaunan untuk meneliti perkara ini boleh ditubuhkan untuk merangka pelan tindakan dan melaksanakannya pada kadar segera, terutamanya untuk tempoh 6 bulan seterusnya.

14. Langkah proaktif ini juga akan dapat memastikan ekonomi tempatan terus kukuh bertapak, seterusnya Malaysia bergerak di landasan yang betul untuk meneruskan pembinaan sebuah ekonomi yang lestari pasca Covid-19 berdasarkan SDG. Tanpa moratorium yang berpatutan, kebankrapan pada skala besar mungkin berlaku sehingga ekonomi Malaysia merudum lebih teruk dan memerlukan usaha lebih besar untuk dipacu kembali.

15. Ini juga adalah seperti yang digambarkan dalam pengumuman Pelan Pemulihan Negara sebagai jalan keluar daripada krisis akibat Covid-19 oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini [9]. Ini akan turut menjadikan Malaysia sebagai negara yang terawal mendukung aspirasi Konsensus Cornwall ini.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030

16. Kerajaan tetap komited untuk menjamin kemakmuran yang dapat dikecapi semua secara adil, saksama dan menyeluruh seperti yang termaktub dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 [10].

Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal
13 Jun 2021

[1] G7: The Cornwall Consensus – Build Forward Better

https://www.g7uk.org/wp-content/uploads/2021/06/G7-Economic-Resilience-Panel-The-Cornwall-Consensus.pdf

[2] UN Sustainable Development Goals

https://sdgs.un.org/goals

[3] Kerangka Basel III

https://www.bis.org/basel_framework/index.htm

[4] MFRS 9: Financial Instruments

https://www.masb.org.my/pages.php?id=89

[5] Commercial Banks in Malaysia

https://www.bnm.gov.my/commercial-banks

[6] Danaharta (now Prokhas Sdn. Bhd.)

https://www.prokhas.com.my/

[7] Khazanah Nasional Berhad

https://www.khazanah.com.my/who-we-are/about-us/

[8] Firma-firma Perakaunan Di Malaysia

https://www.micpa.com.my/resources/approved-training-employers/approved-accounting-firm/

[9] Pelan Pemulihan Negara Persiapan Keluar Pandemik COVID-19

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-rangka-pelan-pemulihan-negara-sebagai-persiapan-keluar-pandemik-covid-19-pm-302953

[10] Wawasan Kemakmuran Bersama 2030

https://www.epu.gov.my/ms/wawasan-kemakmuran-bersama-2030

[11] Persatuan-persatuan perniagaan Gesa ‘Moratorium Rakyat’ Dengan Kadar Faedah Sifar

https://www.thestar.com.my/news/nation/2021/06/11/business-groups-ask-gov039t-for-blanket-zero-interest-loan-moratorium-due-to-pandemic

[12] Petisyen Pemberian Moratorium Automatik Oleh NGO-NGO Melayu-Bumiputera

http://chng.it/MVZQXPG4mx

[13] Banks ask for MFRS 9 relief on worry of provision spike

https://www.theedgemarkets.com/article/banks-ask-mfrs-9-relief-worry-provision-spike

[14] Extension of loan moratorium will hurt banks’ financials

Extension of loan moratorium will hurt banks’ financials

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2021 © Wan Fayhsal

KEMENTERIAN PERPADUAN NEGARA
Blok F9, Parcel F, Presint 1, 62000, Putrajaya