Senator | Timbalan Menteri Belia & Sukan | Ketua ARMADA Nasional
#KekalBERSATU #NafasBaru
Dari Kamar Wan Ahmad Fayhsal
From the Office of Wan Ahmad Fayhsal

Raja-Raja Melayu I : Keagungan Simbolisme Singgahsana - Suatu Renungan Ringkas


Sunday, May 10 2020
A group of people in a room

Description automatically generated

Lembut sutera indah warnanya,
Elok diperaga rupawan mulia,
Raja berdaulat di singgahsana,
Aman rakyat dipayungi baginda.

Terang langit berlalu mendung,
Terang bulan melimpah cahaya,
Agama dijulang adat dijunjung,
Sepakat rakyat utuhlah negara.

Alhamdulillah, genap sebulan saya berdiri di hadapan singgahsana ini ketika menerima pengurniaan suratcara pelantikan sebagai Timbalan Menteri di bawah Pentadbiran YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebulan yang begitu mendidik dan membuka banyak peluang untuk mencurahkan bakti kepada Malaysia yang tercinta dan rakyatnya.

Balairong Seri di Istana Melawati ini bukanlah ruang mengadap Kebawah Duli yang terbesar atau paling megah, namun singgahsananya masih dibina dengan begitu rapi mengikut simbolisme dan adat-istiadat yang di atasnya berdirinya institusi diraja.

A picture containing table, indoor, room, yellow

Description automatically generated

Sebagai contoh, jika diperhatikan, di atas singgahsana ada terukir ayat ke-26 dari kitab suci al-Quran, Surah Al Imran yang disusun sebagai sebuah payung yang melitupi singgahsana. Ayat tersebut adalah seperti di bawah dengan mafhumnya juga:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Antara erti simbolisme ini ialah walaupun raja itu adalah seorang pemerintah tertinggi di muka bumi, di atas baginda masih ada kuasa agung yang berhak untuk memberi dan mengambil kembali kuasa menurut takdir-Nya. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa setinggi-tinggi pohon kelapa, tinggi lagi langit di atasnya.

Sesebuah Pentadbiran juga dikatakan ‘Kerajaan Seri Paduka Baginda’ atau ‘His Majesty’s Government’. Kita membentuk sesebuah kerajaan atas nama Kebawah Duli Yang di-Pertuan. Suratcara pelantikan, sumpah taat setia dan sumpah simpan rahsia juga adalah kurnia Kebawah Duli. Setiap anggota Pentadbiran, kecuali YAB Perdana Menteri, juga berkhidmat selagi mana ia mendapat keyakinan Kebawah Duli (we serve at the pleasure of the king).

Kedua, bahawasanya kuasa itu adalah suatu rezeki yang sementara, bukanlah sesuatu yang kekal. Raja-raja sekalipun bertakhta selagi ada rezeki kesihatan dan umur. Apatah lagi ahli politik yang boleh direhatkan oleh rakyat lima tahun sekali? Yang kekal hanyalah Allah yang sifatnya al-Baqa’ atau yang abadi.

Ketiga, kuasa itu diberikan, namun boleh hilang begitu sahaja. Menteri atau pegawai tinggi sekalipun, kedudukan yang dikecapi ini adalah anugerah Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri dan boleh dilucutkan jika diperkenan. Bagi anggota Pentadbiran seperti saya juga, adalah penting untuk kami mengekalkan prestasi tinggi agar kerajaan terus mendapat keyakinan dan mandat daripada rakyat. Ini adalah batasan dan hakikat yang harus kami insafi.

Keempat, kuasa dan kedudukan ini adalah suatu amanah yang begitu berat dan perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Jika tanggungjawab sebagai wakil rakyat sudah begitu besar sehingga tidak menang tangan dibuatnya, apatah lagi bebanan yang terpaksa digalas oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti yang kita saksikan awal bulan lepas.

Pemilihan calon Perdana Menteri pun dibuat dengan begitu teliti, hampir seminggu lamanya. Keputusan kemudiannya diambil oleh baginda secara musyawwarah bersama-sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu. Keputusan-keputusan pemerintahan juga diputuskan oleh Jemaah Menteri secara kolektif dan bukannya dibuat sesuka hati. Amanah yang begitu besar itu pastilah wajib  disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

Kelima, suatu sistem itu hanya boleh wujud jika aturannya tertib dan setiap komponen memainkan peranannya. Raja ada peranan dan tugasnya, begitu juga dengan rakyat dan masyarakat.

Tamadan Melayu ini terasnya adalah raja-raja Melayu yang menjadi tunjang identiti Melayu itu sendiri. Namun begitu, raja itu juga wujud kerana rakyatnya, seperti yang ditegaskan dalam ‘kontrak sosial’ antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun dalam Sejarah Melayu itu.

Tersebarnya Islam di alam Melayu juga adalah kerana dipayungi raja-raja. Setelah Tanah Melayu melalui transisi kepada sistem raja berperlembagaan (constitutional monarchy), raja masih kekal memayungi agama dan rakyat.

Aturan boleh diubah, perjanjian boleh dipinda. Namun tanpa kedua-duanya dan ketertiban dalam menjaganya, sebuah sistem tidak dapat berfungsi dan tidak akan stabil. Maka adalah penting untuk kita menghormati ketertiban dan memainkan peranan masing-masing dengan baik.

Bersambung Bahagian 2: https://wanfayhsal.my/?p=460

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2020 © Wan Fayhsal

Kementerian Belia dan Sukan
Tingkat 16, Menara KBS,
No 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
62570 Putrajaya