From the Office of Wan Ahmad Fayhsal
1. Apakah aktiviti yang afdal untuk dibuat oleh ahli politik untuk menyambut Hari Malaysia? Bagi saya menyelak semula lembaran sejarah bagaimana Malaysia dibentuk adalah amat penting kerana banyak sekali pengajaran dan ilmu tatanegara yang dapat dipelajari.
2. Tahun ini saya memilih satu bahan sejarah yang amat penting – satu memoir yang ditulis oleh salah seorang arkitek Malaysia iaitu Tun Ghazali Shafie (meninggal 2010) atau lebih dikenali sebagai “King Ghaz” yang terlibat secara langsung sebagai penjawat awam di Wisma Putra ketika itu dalam membantu Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.
3. Memoir yang ditulis sendiri oleh almarhum Tun Ghazali Shafie dalam Bahasa Inggeris (sangat tinggi laras bahasanya) yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2004 ini wajar dijadikan buku rujukan utama oleh ahli politik dan semua pelajar sejarah, dan sains politik. Ianya cukup bernilai kerana Tun Ghazali Shafie memuatkan banyak anekdot dan penceritaan semula proses, drama dan sisi pandang yang tajam, kritis berkenaan pembentukan idea Konsep Malaysia (Malaysia Concept) sehingga terbentuk entiti politik Persekutuan Malaysia.
4. Sebagai pelajar Geopolitik, sebelum ini saya banyak membaca bahan-bahan kajian sejarah pembentukan Malaysia dari sudut pandang serantau dan “luar” yang ditulis oleh sejarawan luar seperti Greg Poulgrain (“Genesis of Konfrantasi: Malaysia, Brunei, Indonesia 1945-1965”) dan pasangan Audrey dan George Kahin (“Subversion as Foreign Policy: The Secret Eisenhower and Dulles Debacle in Indonesia), Lee Kuan Yew (“Battle for Merger”) dan juga hansard-hansard perbahasan di Parlimen United Kingdom berhubung “Malaysia Bill” dan lain-lain.
5. Memoir King Ghaz adalah sudut pandang “dalam” sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu dan rumpun Melayu bagaimana pemimpin kita ketika itu yang dikepalai oleh negarawan Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak melihat semua cabaran dalaman, luaran yang memungkinkan Konsep Malaysia itu sendiri.
6. Kalau saya boleh rumuskan hasil pembacaan dan kajian saya setakat ini, pembentukan Persekutuan Malaysia banyak didorong oleh tuntutan dan desakan Geopolitik serantau – khususnya usaha Tunku Abdul Rahman dalam mengekang arus komunisme yang deras tajaan Soviet dan China. Begitu juga bekas penjajah kita British yang melihat betapa Perang Dingin (Cold War) yang berlangsung ketika itu boleh menjejaskan kepentingan politik dan ekonomi “Gentlemanly Capitalism” mereka di Alam Melayu.
7. Formula pembentukan Malaysia – yang pada mulanya didesak kuat oleh Lee Kuan Yew dan Singapura; juga oleh British untuk melibatkan hanya Malaya dan Singapura – amat dibayangi oleh kebimbangan Tunku Abdul Rahman akan polemik perkauman yang tidak seimbang dan tidak secocok dengan acuan orang-orang Melayu yang mempunyai institusi Raja, agama Islam dan adat Melayu. Ini diberi penghujahan yang jujur oleh Tunku dalam Dewan Rakyat pada 16 Oktober 1961 seperti yang dirakam secara verbatim dalam Memoir Tun Ghazali Shafie (ms110-126).
8. Episod rundingan dengan pihak British juga rumit. Bermacam-macam helah dan alasan yang diberikan oleh mereka untuk melambatkan usaha ini khususnya Kemerdekaan buat Borneo (Brunei, Sabah dan Sarawak). Tapi Tun Ghazali Shafie menceritakan bagaimana Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak benar-benar cerdas dalam diplomasi – tegas pada tempatnya, lembut pada tika waktunya. Akhirnya kita pun tahu British bersetuju dengan cara, dan syarat yang Persekutuan Tanah Melayu/Malaya tetapkan.
9. Banyak tohmahan dibuat oleh jiran tetangga kita ketika itu khususnya Indonesia dan Filipina yang mendakwa projek Malaysia ini adalah satu penjajahan bentuk baru atau neo-kolonialisme. Saya suka petik ucapan Tunku dalam parlimen ketika itu yang meletakkan kewibawaan Tunku Abdul Rahman dan Malaya sebagai negara yang mendepani cabaran penyahjajahan ketika itu:
“Malaya’s attitude towards colonialism is well-known and constantly reiterated both at home and abroad. We consider that it is our duty to help bring about an end to any form of colonialism. The very concept of the Malaysia Plan is an effort to end colonialism in this region of the world, in a peaceful and constructive manner. We in Malaya won our independence by peaceful means, and we are sure that the peoples of the Borneo territories would like to end their colonial status and obtain independence in the same way”.
10. Memoir Tun Ghazali Shafie ini seperti saya katakan tadi amat penting kerana ianya adalah hujah yang amat ampuh untuk menjawab fitnah dan dakyah yang bukan saja dilontarkan oleh Sukarno (Indonesia) dan Macapagal (Filipina) dulu tetapi juga kini yang dimainkan berulang kali oleh anasir-anasir yang menjaja cerita pemisahan Sabah dan Sarawak daripada Semenanjung Malaysia. Kenapa saya katakan demikian? Ini kerana hakikat sejarah tidak dapat dinafikan bahawa Persekutuan Tanah Melayu yakni Malaya adalah BIDAN KEMERDEKAAN buat Singapura, Sabah dan Sarawak.
11. Tanpa usaha Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak, Singapura, Sabah dan Sarawak tidak akan mendapat kemerdekaan semudah ini. Kenapa? Kerana ketika itu ketiga-tiga wilayah ini akan kekal hak milik mereka sebagai koloni British dek kerana kepentingan keselamatan dan ekonomi yang penting dimainkan Singapura, Sabah dan Sarawak kepada Britain ketika itu.
12. Singapura adalah entiti paling rumit untuk dirunding dalam membawa mereka masuk ke dalam Persekutuan Malaysia kerana faktor demografi yang lebih berat kepada kaum Cina (70% rakyat Singapura berketurunan Cina); anasir komunisme yang lebih kuat, tersusun; kepentingan sekuriti British dan SEATO (cabang NATO di Asia Tenggara) dalam mengekang Komunisme Internasional Soviet dan China; juga faktor ekonomi, kewangan, perdagangan Singapura kepada Britain. Lee Kuan Yew sangat mendesak mahukan penggabungan total (full merger) yang mana Tunku tidak setuju akibat banyak perkara – khususnya ketidak seimbangan kaum yang bakal memberi kesan sosio-politik yang besar kepada Malaya ketika itu.
13. Penggabungan Borneo untuk Malaysia lebih mudah dan tidak rumit kerana banyak sekali persamaan yang ada antara Malaya dan Boreno dari segi demografi rumpun Melayu, dan juga sistem yang ditinggalkan British. Malah rundingan dan perbincangan antara Tunku dan delegasi Borneo lebih nyaman, jujur dan mesra – seperti dinukilkan Tun Ghazali Shafie berbanding apa yang berlaku antara Tunku Abdul Rahman dengan Lee Kuan Yew.
14. Pembentukan Malaysia 1963 amat menarik untuk dikaji bukan saja daripada sudut pandang dalam seperti yang diceritakan tadi tapi seperti saya pernah kuliahkan (rujuk capaian Youtube saya: https://youtu.be/3mp49NsqIPI), ianya punya drama Geopolitik yang maha hebat.
15. Kanvas geopolitik serantau ketika itu di Asia Tenggara sebelum Persekutuan Malaysia terbentuk menujukkan episod-episod penting seperti peranan CIA di Indonesia untuk gulingkan Sukarno; Tanah Melayu sebagai pusat pengumpulan US Dollar terbesar buat British dan status Malaya sebagai “Sterling Area”; kepentingan kaum pemodal, kapitalis British seperti Sime Darby, Guthrie, Boustead, Harrison & Crossfield yang memerintah Tanah Melayu dan Malaysia sebagai “Gentlemanly Capitalism” dari The City of London; kepentingan perniagaan Rockefeller dan Kissinger dalam usaha mendapatkan kawalan dan pajakan ke atas lombong emas Grasberg di Papua dan kedudukan dan peranan Persekutuan Malaysia sebagai “bulwark” sistem kapitalis di Asia Tenggara.
16. Saya amat syorkan semua anak muda khususnya yang mahu bergiat dalam politik tanah air menjadikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia sebagai satu ilmu sejarah dan tatanegara yang wajib dipelajari, difahami dan lebih penting dihayati kerana tanpanya Kemerdekaan yang kita warisi ini bakal tergugat suatu hari nanti. Jangan biarkan mana-mana pihak dari luar merungkai semula muafakat ini dan biarkan anai-anai dari dalam memakan tiang seri Rumah Panjang Malaysia ini. Selamat Hari Malaysia ke-59!
– Wan Ahmad Fayhsal –
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Machang
Machang, Kelantan Darul Naim
Leave a Reply