Senator | Timbalan Menteri Belia & Sukan | Ketua ARMADA Nasional
#KekalBERSATU #NafasBaru
Dari Kamar Wan Ahmad Fayhsal
From the Office of Wan Ahmad Fayhsal

Sekolah Vernakular Perlu Dimansuhkan Secara Berperingkat


Wednesday, Aug 26 2020

Pada sesi perbahasan di Parlimen semalam (25 Ogos 2020), Menteri Perpaduan, YB Datuk Halimah binti Mohamed Sadique telah membuat suatu kenyataan yang, pada pendapat ARMADA, tidak mencerminkan citra nasional bagi menjayakan integrasi kaum di negara ini. ARMADA secara tuntas menolak kenyataan bahawa sekolah vernakular tidak akan ditutup.

Biarpun Akta Pendidikan 1996 yang menggantikan Akta Pendidikan 1961 telah memansuhkan kuasa budi bicara Menteri Pendidikan untuk menutup sekolah vernakular pada bila-bila masa, sekolah vernakular jelas mendapat persepsi negatif rakyat apabila rata-ratanya gagal menghasilkan murid yang mampu memperlihatkan jati diri nasional yang kental. Selain itu, terdapat banyak pandangan bahawa penubuhannya kekal bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pendukungan simbol dan pengamalan sosiobudaya teras kebangsaan selaras dengan Kontrak Sosial antara lainnya menuntut penguasaan bahasa Melayu yang merupakan ‘bahasa kebangsaan’ kita. Namun pemerhatian menunjukkan ramai lepasan sekolah vernakular hanya mampu memperlihat penguasaan bahasa ibunda masing-masing. Ini disokong data-data kajian ilmiah dan penelitian cendekiawan nasional seperti Prof. Dr Teo Kok Seong dari UKM.

Jati diri kebangsaan secara unggul juga memerlukan bukan sahaja kefasihan malah penguasaan bahasa kebangsaan dengan baik. Rata-rata pelajar sekolah vernakular pula hanya mampu mempamerkan jati diri ‘etnik tertentu’ mengikut aliran persekolahan yang dipisah dan terpisah berdasarkan jalur etnisiti. Maka jika dinilai, rata-rata mereka kelihatan tidak nasional atau tidak mencerminkan citra kebangsaan dalam tekad mencapai integrasi nasional.

Penjelasan di Parlimen semalam juga kelihatan menerawang apabila menyatakan bahawa “PERPADUAN PERLU DIMULAKAN DARIPADA ASAS SEJAK SEKOLAH RENDAH, MENENGAH, SEHINGGA UNIVERSITI, TERMASUK KEPENTINGAN PENGHAYATAN ASPEK RUKUN NEGARA”. Teras sosialisasi antara utamanya ialah melalui pendidikan, maka secara jelas anak-anak Malaysia tidak wajar dipisah-pisah melainkan berada di bawah satu bumbung.

ARMADA tidak menolak rencam masyarakat, malah meraikan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia kerana inilah keunikan dan kekuatan kita. Namun berbeza-beza biarlah satu! Maka, di samping mendokong untuk mengasaskan Bahasa Mandarin dan juga Bahasa Tamil sebagai subjek utama di sekolah kebangsaan di Malaysia, pun begitu perlu jelas bahawa bahasa Melayu adalah tali pengikat perpaduan selaras perlembagaan.

Bercakap soal penghayatan Rukun Negara, terangan terasnya adalah “Keluhuran Perlembagaan”. Bagaimana boleh pernyataan terkait Rukun Negara pula menolak perihal mendaulahkan antara perkara dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 152?

Maka, dengan hasrat murni untuk mengutuhkan perpaduan negara, ARMADA kekal dengan pendirian bahawa Sekolah Vernakular wajar dimansuhkan secara berperingkat. Perlu ada usaha untuk memastikan hal ini menjadi keutamaan agenda nasional, dan bukannya digunakan sebagai bahan politik tidak kira di blok kerajaan mahupun pembangkang untuk sekadar meraih undi.

YB Senator Wan Ahmad Fayhsal
Ketua ARMADA Nasional

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2020 © Wan Fayhsal

Kementerian Belia dan Sukan
Tingkat 16, Menara KBS,
No 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
62570 Putrajaya