Ahli Parlimen Machang | Ketua ARMADA Nasional

From the Office of Wan Ahmad Fayhsal

Raja-Raja Melayu II : Kunci Kesinambungan Bangsa dan Tamadun Malaysia


Monday, May 11

Akhir sekali, keenam, adalah kesinambungan. Seorang penulis dan ahli teologi terkenal Amerika Syarikat pernah berkata, “A politician thinks of the next election; a statement of the next generation. A politician looks for the success of his party; a statesman for that of his country. The statesman wishes to steer, while the politician is satisfied to drift.”

(Terjemahan kasarnya: Politikus hanya memikirkan kemenangan pilihanraya berikutnya, seorang negarawan memikirkan soal generasi selepasnya. Politikus hanya mengusahakan kejayaan parti politiknya, seorang negarawan memikirkan kejayaan negaranya. Seorang negarawan akan cuba mengemudi bahtera, manakala politikus bisa sahaja hanyut dibawa arus.”)

Malah jika diabaikan adikarya John Locke, seorang pemikir Inggeris pada zaman Pencerahan Agung Eropah sekalipun, ramai pemikir dan pengalisis politik moden yang berpendapat bahawa sistem beraja (berperlembagaan) adalah sistem yang paling stabil dan terbaik dalam sejarah manusia. Revolusi Perancis telah diulang beberapa kali namun hari ini, walaupun sebagai sebuah negara republik, masih mengekalkan elemen yang menjadikan presiden mereka sebagai seorang ‘republican monarch’.

Seorang lagi pemikir dalam bidang ini ialah Walter Bagehot yang memperkenalkan konsep pembahagian negara kepada dua bahagian iaitu antara ‘the dignified’ dan ‘the efficient’. Ini menjadi asas teori perlembagaan banyak negara demokrasi hari ini.

Bahagian ‘efficient’ perlu bergerak pantas dan sentiasa berubah untuk menguruskan hal-hal seharian yang leceh. Peranan ini dimainkan oleh ahli politik dan kakitangan kerajaan umumnya. Bahagian ‘dignified’ pula bersifat kekal dan konservatif serta tidak mudah berganjak, namun ia menjadi pasak yang memastikan kestabilan dan kesinambungan warisan sesebuah negara dan tamadun. Itulah institusi negara seperti institusi beraja dan agama serta tradisi yang diwakilinya.

Kedua-dua bahagian ini berinteraksi antara kedua-duanya dan membolehkan sesebuah negara atau institusi itu terus maju dan membangun namun tidak pula melupakan asal-usul, tradisi dan falsafah yang membentuk identiti dan memberi tujuan (maqasid) institusi itu. Jika kita lihat kembali kepada tamadun manusia, apakah institusi, tradisi atau warisan yang masih kekal hingga ke hari ini; yang menjadi asas kepada masyarakat moden?

(i) Tradisi agama sama ada Yahudi, Hindu, Kristian atau Islam: Adakah agama Kristian dapat tersebar luas di Eropah tanpa sokongan Empayar Rom, atau agama Islam tanpa sokongan Kerajaan Melayu Melaka?

(ii) Ilmu dan falsafah: Sama ada idea demokrasi Yunani atau Konfusianisme, bagaimana mereka boleh wujud hingga ke zaman moden jika ia tidak menjadi agama rasmi negara dan dipayungi pemerintahnya? Adakah zaman kegemilangan Islam di bawah pemerintahan Abbasiyyah dan Pencerahan Agung Eropah akan berlaku tanpa sokongan daripada pihak berkuasa?

(iii) Dokumen dan rekod: Kitab-kitab suci biasanya dikumpulkan dan ditulis atas perintah pemimpin negara. Banyak dokumen seperti Magna Carta juga hanya wujud hari ini kerana disimpan dalam perpustakaan atau gedung rekod diraja. Walhal sejarah Malaysia dan Nusantara juga banyak disimpan dalam arkib China atau Vatican.

Jika perkara-perkara di atas diletakkan pada politikus, semuanya mungkin digadaikan sesuka hati semata-mata untuk menang peperangan atau pilihanraya. Namun pelbagai nikmat yang kita warisi hari ini adalah hasil daripada warisan nenek moyang kita yang berwawasan jauh, dan sampai kepada kita melalui institusi-institusi seperti sistem beraja.

Kelebihan sistem ini boleh dilihat di beberapa negara moden yang kaya dan demokratik; yang memilih untuk mengekalkan sistem beraja seperti United Kingdom, Belgium, Luxembourg, Sweden, Norway dan Jepun. Sekalipun telah dua kali diuji dengan perang dunia, negara-negara ini memilih untuk mengekalkan pemerintahan beraja. Malah negara Sepanyol kembali menabalkan raja mereka setelah tamatnya pemerintahan diktator Francisco Franco. Akibat kucar-kacir pentadbiran di Amerika Syarikat sekarang, ramai pemikir dan penulis mereka mempopularkan kembali idea agar negara itu mengambil elemen-elemen terbaik sistem monarki.

Kerajaan jatuh dan bangkit, pemimpin datang dan pergi, namun tamadun dan tradisi yang diwakilinya boleh kekal dari satu generasi ke generasi berikutnya. Akan tetapi, semua ini hanya boleh dicapai jika ‘wali’ yang menjaganya mempunyai iltizam untuk menjayakan kesinambungan itu. Sepertimana institusi diraja Jepun menjadi wali kepada bahasa, budaya dan agama Shinto yang menjadi teras bangsa Jepun sejak Maharaja Jimmu, begitu jugalah institusi raja-raja Melayu kita sejak Merong Mahawangsa dan Sri Tri Buana.

Atas sebab-sebab di atas, saya cenderung untuk mengatakan bahawa seperti negara-negara yang saya sebutkan di atas, kunci kestabilan dan kemakmuran Malaysia juga adalah di bawah pemerintahan beraja. Maka kita sebagai rakyat harus bersyukur kerana Malaysia ditakdirkan merdeka dan berdaulat di bawah naungan raja-raja. Secara relatif, Malaysia adalah sebuah negara yang stabil dari segi politiknya, demokratik, makmur ekonominya dan bebas rakyatnya. Mudah-mudahan nikmat ini dapat dikekalkan untuk generasi-generasi mendatang.

Ini adalah sedikit sebanyak renungan yang dapat saya kongsikan daripada sekilas pandang Singgahsana Diraja di Istana Melawati tempoh hari. Jika mahu diceritakan, sebenarnya ada banyak lagi pengajaran dan ilmu pengetahuan yang boleh ditimba daripada warisan sistem beraja kita. InsyaAllah, jika ada keluangan, kita boleh teruskan perkongsian di masa akan datang.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru agar kita sebagai rakyat Malaysia dapat sama-sama memanjatkan doa agar wabak Covid-19 ini dapat diatasi dengan seberapa segera agar rakyat dapat mengecapi nikmat bernegara di bawah payung Seri Paduka Baginda sepenuhnya.

DAULAT TUANKU!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2023 © Wan Fayhsal

Pusat Khidmat Ahli Parlimen Machang
Machang, Kelantan Darul Naim