- Saya merujuk kepada kenyataan daripada Menteri Pendidikan, Budaya, Riset dan Teknologi (Mendikbudristek), Tuan Nadiem Anwar Makarim berkenaan cadangan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN [1].
- Walaupun secara zahirnya Tuan Nadiem kelihatan menolak cadangan ini, beliau meletakkan dua keutamaan yang saya fikirkan positif iaitu:
(i) Bahawa beliau percaya Bahasa Indonesia lebih cocok untuk dijadikan bahasa rasmi ASEAN berbanding bahasa Melayu.
(ii) Perkara ini “perlu dikaji dan dibahas lebih lanjut di tataran regional”.
TAKRIF BAHASA MELAYU & BAHASA INDONESIA
- Saya percaya bahawa isu ini dibangkitkan sebegitu kerana takrif yang berlainan digunakan oleh sekurang-kurangnya dua negara Malaysia dan Indonesia. Di Indonesia:
(i) Sumpah Pemuda pada 28 Oktober 1928 mengiltizamkan suatu bahasa yang tunggal untuk seluruh bangsa Indonesia.
(ii) Pasal 36 Undang-undang Dasar Republik Indonesia menetapkan Bahasa Negara ialah Bahasa Indonesia.
(iii) Status dan fungsi Bahasa Indonesia ditetapkan oleh Undang-undang Republik Indonesia Nomor 24 Tahun 2009 tentang Bendera, Bahasa, dan Lambang Negara, serta Lagu Kebangsaan.
- Manakala di Malaysia pula:
(i) Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa kebangsaan Malaysia ialah bahasa Melayu.
(ii) Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menetapkan skop penggunaan bahasa kebangsaan atau Bahasa Malaysia.
LAHIR DARI INDUK YANG SAMA
- Sekalipun begitu, sama ada dari segi sejarah ataupun sudut praktikal, kedua-dua bahasa saling boleh difahami (mutually intelligible). Hal ini kerana ia berkongsi suatu induk yang sama iaitu ‘bahasa persuratan’, iaitu terbitan daripada bahasa Melayu kuno yang digunakan oleh kerajaan-kerajaan lama di pesisir Selat Melaka. Pada awalnya, ia ditulis dalam pelbagai sistem aksara terutamanya Kawi dan Rencong. Bahasa ini dapat dikesan penggunaannya hatta sehingga ke kepulauan Filipina hari ini.
- Kebangkitan Kesultanan Melaka dan kemudiannya Kesultanan Pahang-Johor-Riau-Lingga sebagai kuasa besar dan pusat perdagangan yang juga berfungsi sebagai pusat penyebaran agama Islam telah mengukuhkan lagi peranan bahasa ini di nusantara. Ketika inilah jugalah banyak pinjaman daripada bahasa Arab, Farsi, Urdu, Belanda dan Inggeris berlaku. Kesarjanaan dalam agama Islam oleh tokoh-tokoh seperti Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri juga menambah kepada kekayaan ini, sehingga tulisan Jawi yang dipinjam daripada bahasa Arab dan Farsi akhirnya menggantikan sistem penulisan lain.
- Di sebalik penjajahan nusantara oleh kuasa-kuasa Eropah, berkat kesarjanaan para pendeta seperti Raja Ali Haji dan penyebaran teknologi percetakan, bahasa Melayu kekal menjadi bahasa yang difahami dan dipertutur umum di seluruh rantau ini atau ‘lingua franca’ sehingga abad ke-20 [2]. Namun begitu, kesan kolonial telah menjadikan tulisan Rumi menjadi sistem penulisan yang dominan.
“Kitab Hitoengan” dan “Peladjaran Bahasa Melajoe” yang diterbitkan di Batavia (Jakarta) pada tahun 1941. Istilah ‘Bahasa Indonesia’ kemudiannya dikanunkan oleh Undang-undang Dasar Negara Republik Indonesia Tahun 1945. (Kredit: Prof. Dato’ Dr. Abdul Mua’ti Ahmad)
KEMERDEKAAN INDONESIA & MALAYSIA
- Apa yang jelas ialah para sarjana bersetuju bahawa bahasa Melayu Johor-Riau-Lingga sebagai terbitan bahasa persuratan adalah asas kepada bahasa Indonesia dan bahasa Melayu di Malaysia, Singapura dan Brunei yang digunakan hari ini. Hal ini ditegaskan oleh Presiden Soekarno yang cenderung memilih Bahasa Melayu yang lebih egalitarian sebagai asas Bahasa Indonesia, dan bukannya bahasa Jawa yang dianggap lebih feudal kerana mempunyai banyak tingkatan [3]. Hal ini seterusnya menjadi ketetapan Sumpah Pemuda pada tahun 1928.
- Pasca kemerdekaan kedua-dua negara, bahasa ini wujud sebagai bahasa yang plurisentrik sebagai bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia kerana pemerintah kedua-dua negara menetapkan keutamaan yang berlainan bagi setiap satunya.
PERKEMBANGAN SEMASA
- Hari ini, pemerintah di setiap negara menubuhkan badan kawal selia tersendiri iaitu Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa (Indonesia), Dewan Bahasa dan Pustaka (Malaysia), Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei dan Majlis Bahasa Melayu Singapura. Namun begitu, pemantauan dan koordinasi perkembangan bahasa di rantau ini tetap diteruskan oleh sebuah badan supranasional iaitu Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia.
- Di samping itu, seperti yang pernah saya bangkitkan sebelum ini, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu kembali mendapat perhatian di beberapa kawasan seperti selatan Thailand. Untuk tujuan ini, Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan di Patani pada 12 Oktober 2013 [4].
- Awal tahun itu juga, Menteri Pendidikan Filipina menyuarakan kemungkinan untuk memperkenalkan Bahasa Indonesia sebagai bahasa ketiga di sekolah-sekolah [5]. Hal ini bagi membolehkan warga Filipina mengambil peluang daripada perkembangan pesat ekonomi negara-negara ASEAN seperti Malaysia dan Indonesia.
DALAM DUNIA AKADEMIK
- Secara linguistik, bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia yang dianggap sebagai terbitan atau cikal kepada bahasa persuratan atau bahasa Melayu klasik ini tergolong dalam keluarga Malayo-Polynesia yang merangkumi seluruh nusantara. Maka pengajiannya di luar nusantara tidaklah banyak berbeda daripada pengajian Melayu itu sendiri.
- Hari ini, walaupun bahasa Indonesia diajar sebagai bahasa antarabangsa di negara-negara seperti Australia (Bahasa Indonesia bagi Penutur Asing atau BIPA), bahasa Melayu turut diajar sebagai subjek pengajian dan peperiksaan oleh badan-badan seperti Cambridge International dan International Baccalaureate.
- Di samping itu, ia diajar sebagai sebahagian daripada pengajian ‘alam Melayu’ di institusi-institusi pendidikan antarabangsa. Di Eropah, pengajiannya berkait rapat dengan kajian sejarah dan kontemporari Asia Tenggara terutamanya terhadap manuskrip yang dikumpulkan daripada seluruh alam Melayu.
- Manakala di China pula, bahasa Melayu terus mendapat perhatian sehingga Kerajaan Malaysia meletakkan Kursi Pengajian Melayu ketiga di Universiti Pengajian Asing Beijing pada tahun 2005, iaitu selepas di Universiti Leiden, Belanda dan Universiti Victoria, New Zealand [6].
MASA DEPAN BAHASA MELAYU & BAHASA INDONESIA
- Jika kita teliti Pedoman Umum Ejaan Bahasa Indonesia (PUEBI), Tata Bahasa Baku Bahasa Indonesia dan Tatabahasa Dewan, perbedaan antara kedua-duanya amatlah minimum. Tetapi dari segi kosa kata pula, jika dibandingkan antara Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI) dan Kamus Dewan, memang banyak peralihan semantik yang berlaku daripada kosa kata tradisi, yang rencamnya ditambah pula dengan kaedah peminjaman istilah dan neologisme yang agak berlainan.
- Sedangkan bahasa Indonesia lebih banyak mengekalkan istilah Sanskrit serta meminjam daripada bahasa Belanda dan bahasa-bahasa sukuan di sana, bahasa Melayu di Malaysia, Singapura dan Brunei lebih banyak meminjam daripada bahasa Arab, Inggeris dan bahasa-bahasa sukuan masing-masing. Sekalipun begitu, penutur bahasa di negara-negara ini masih saling memahami antara satu sama lain, terutamanya jika bahasa baku digunakan.
- Ini jauh bedanya dengan bahasa kolokial atau bahasa vernakular yang digunakan sehari-hari. Bahasa Melayu dialek Kuala Lumpur lebih dominan di Semenanjung Malaysia, sedangkan bahasa Melayu varian Brunei dan Sabah lebih dominan di Borneo. Manakala varian bahasa Indonesia yang dominan di Jakarta ternyata sukar difahami oleh penutur bahasa di tempat-tempat lain. Kepelbagaian ini harus diraikan, namun ia wajar dipisahkan daripada isu bahasa rasmi yang sedang dibincangkan ini.
- Secara keseluruhannya, walaupun dipisahkan oleh sempadan dan sistem politik beberapa negara, bahasa-bahasa yang terus berkembang ini tetaplah pada asasnya adalah terbitan bahasa persuratan, namun terus wujud dan berevolusi secara plurisentrik. Ini tidak jauh bezanya dengan bahasa Perancis, Jerman dan Arab yang dikongsi antara beberapa kuasa besar rantau dan dunia.
- Oleh itu, dalam membicarakan masa hadapan dan wawasan untuk bahasa yang dikongsi bersama ini, adalah wajar untuk kita membincangkannya dalam suatu suasana persaudaraan dan kasih sayang sebagai bangsa serumpun dan bukannya dengan perseteruan dan syak wasangka.
MENJADI BAHASA RASMI ASEAN
Sumber: Usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN wajar disokong
- Maka bolehlah kita simpulkan bahawa dalam menetapkan bahasa pengantar di peringkat ASEAN, bahasa yang dipilih hendaklah merupakan bahasa yang dikongsi bersama secara sejarah, budaya dan penggunaan kontemporarinya oleh negara-negara anggota ASEAN itu sendiri.
- Bahasa yang dikongsi bersama ini ialah bahasa yang terbit daripada bahasa persuratan yang menjadi asas kepada bahasa-bahasa kebangsaan di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei. Bahasa ini jugalah yang menjadi lingua franca di nusantara sejak ratusan tahun.
- Oleh yang demikian, saya akan terus memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang dominan di peringkat ASEAN. Seperti yang saya tegaskan di atas juga, bahasa Indonesia yang baku tidak jauh beza dengan bahasa-bahasa kebangsaan di Malaysia, Singapura dan Brunei. Saya fikir ini tidak menjadi masalah kerana ia masih bahasa yang digunakan untuk tujuan rasmi dan persuratan, dan bukannya bahasa kolokial yang memang jauh berbeza dari satu daerah ke daerah lain.
PROSPEK PENGIKTIRAFAN
Sumber: “Wacana Sinar: Mampukah Bahasa Melayu Tawan ASEAN?” pada Jumaat, 08 April 2022 di Studio Karangkraf, Shah Alam
- Seperti yang disebutkan oleh Tuan Nadiem Makarim, usul ini perlu dibincangkan secara lanjut antara kepala-kepala negara yang terbabit iaitu Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura.
- Namun perlu ditegaskan, kendatipun bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi ASEAN, ia tetap adalah kemenangan dan pengiktirafan buat bahasa Indonesia juga. Di samping itu, ia juga bakal menjulang kedudukan bahasa, budaya dan peradaban nusantara di mata dunia.
- Saya percaya bahawa ini juga adalah sepadan dengan status dan prestij Indonesia sebagai salah satu daripada 20 kuasa ekonomi utama dunia (G20), serta ASEAN sebagai blok ekonomi yang berpengaruh dan disegani [7].
WAN AHMAD FAYHSAL BIN WAN AHMAD KAMAL
07 April 2022
Nota penafian: Pendapat ini diutarakan atas kapasiti peribadi dan tidak mewakili pendirian mana-mana pihak lainnya.
SENARAI RUJUKAN
[1] KOMPAS “Alasan Nadiem Tolak Melayu Jadi Bahasa Resmi ASEAN: Bahasa Indonesia Terbesar di Asia Tenggara” https://nasional.kompas.com/read/2022/04/05/16473561/alasan-nadiem-tolak-melayu-jadi-bahasa-resmi-asean-bahasa-indonesia-terbesar
[2] KEMENDIKBUD – “Perkembangan Bahasa Melayu” https://kebudayaan.kemdikbud.go.id/bpnbkepri/perkembangan-bahasa-melayu/
[3] TEMPO – “Bahasa Jawa Jangan Jadi Bahasa Nasional” https://nasional.tempo.co/read/438174/soekarno-bahasa-jawa-jangan-jadi-bahasa-nasional
[4] “Kesegaran Bahasa Melayu Di Selatan Thailand” https://www.astroawani.com/perspektif/kesegaran-bahasa-melayu-di-selatan-thai-24358
[5] “Bahasa in schools? DepEd eyes 2nd foreign language” https://www.philstar.com/headlines/2013/03/22/922576/bahasa-schools-deped-eyes-2nd-foreign-language
[6] Radio Antarabangsa Cina – “Memperkasa Pengajian Bahasa Melayu di China” http://malay.cri.cn/781/2012/12/24/101s136979.htm
[7] The Diplomat – “Language Policy and Education in Southeast Asia” https://thediplomat.com/2021/12/language-policy-and-education-in-southeast-asia/
Leave a Reply