From the Office of Wan Ahmad Fayhsal
PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KETIGA,
PARLIMEN KEEMPAT BELAS
DARIPADA : WAN AHMAD FAYHSAL BIN WAN AHMAD
KAMAL [PERIKATAN NASIONAL – BERSATU]
TARIKH : 29 DISEMBER 2020 (SELASA)
Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 26(3):
“Bahawasanya Dewan yang mulia ini menyanjung tinggi segala jasa
Profesor Diraja, Almarhum Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid
kepada ekonomi dan pembangunan Malaysia khususnya umat Islam dan
kaum bumiputera, serta Almarhumah Tun Rahah binti Mohamed Noah
kepada perpaduan negara.”
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih saya ucapkan atas peluang ini.
Hari-hari awal Malaysia cukup mencabar, antaranya diuji dengan perpisahan
dengan Singapura pada tahun 1965, diikuti dengan titik hitam Tragedi 13 Mei 1969. Namun semua ini telah menguatkan iltizam, malah memaksa kita
menjadi sebuah negara yang mampu berdiri sendiri. Di sinilah kita harus
berterima kasih kepada dua sosok agung:
Almarhum Tun Razak tidak perlu diperkenalkan lagi. Namanya terpahat di mana sahaja, daripada Universiti Tun Abdul Razak di Malaysia, hinggalah ke Tun Abdul Razak Research Centre di United Kingdom yang membuat kajian terkini dalam teknologi getah yang bertaraf dunia. Begitulah hebatnya Bapa Pembangunan kita.
Kurang dibincangkan ialah Almarhumah Tun Rahah, isteri kepada Perdana Menteri kedua dan bonda kepada yang keenam. Anak kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang pertama ini bertuah kerana mendapat pendidikan Inggeris, suatu keistimewaan untuk kaum wanita ketika itu. Seperti yang pernah disebut oleh tokoh Perancis Napoleon Bonaparte, kaum ibu yang berpendidikan menjamin pembinaan negara dan peradaban. Hasilnya, kita mendapat seorang lagi Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib dan juga tokoh perbankan Asia Tenggara, Dato’ Sri Nazir Razak.
Namun begitu, legasi ini tidak boleh dipisahkan daripada seorang lagi gergasi pembangunan negara iaitu Almarhum Prof Diraja Ungku Aziz. Di bawah pimpinannya, Dasar Ekonomi Baharu telah berjaya membasmi kemiskinan tegar, menyusun atur kembali struktur sosio-ekonomi negara, dan membantu mengangkat kaum bumiputera yang ketinggalan berbanding kaum lain ketika itu.
Walaupun kurang diwacanakan hari ini, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) – yang dirasmikan oleh Almarhum Tun Razak – juga adalah gagasan Almarhum Ungku Aziz. Dengan pemusatan sumber dan sokongan ekosistem, badan-badan koperasi lain di bawahnya memesatkan pembangunan ekonomi di peringkat akar umbi, khususnya untuk bumiputera, kaum minoriti dan penduduk luar bandar. Tidak dilupakan juga peranan Tabung Haji dan Bank Islam yang membuka pintu kepada revolusi perbankan dan kewangan Islam untuk dekad-dekad selepasnya.
Nama Pak Ungku jua tidak dapat dipisahkan daripada Universiti Malaya, institusi pendidikan tinggi (IPT) perdana yang dibawanya dari Singapura ketika itu ke Kuala Lumpur. Pak Ungku menjadi orang Malaysia pertama yang menjawat Naib Canselor. Hasil wawasannya juga, bermula daripada bidang bahasa (beliau adalah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pertama) dan ekonomi yang merupakan kepakarannya, Universiti Malaya kini adalah yang ke-59 terbaik dunia berdasarkan QS World University Ranking 2021. Pusat-pusat kajian rentas bidang seperti Institut Kong Zi, Insitut Asia-Eropah dan Institute for Advanced Studies terus menghasilkan kertas-kertas kajian yang menjadi rujukan global.
Pemikiran Almarhum dan generasinya amatlah melangkaui zaman dan di luar kebiasaan, maka membuka paradigma baharu dalam dunia pemikiran. Inovasi yang membumi seperti ‘indeks sarung’ adalah antara kayu ukur alternatif untuk menilai tahap sosio-ekonomi masyarakat sedangkan pihak lain masih menggunakan anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar per kapita atau pendapatan sehari.
Sezaman dengannya, Allahyarham Syed Hussein Alatas menukilkan adikaryanya, ‘Mitos Pribumi Malas’ yang masih menjadi rujukan bidang sosiologi termasuk gerakan intelek arus perdana iaitu penyahjajahan (dengan izin: decolonialism). Ahli falsafah ulung negara, Profesor Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas juga menghasilkan ‘Islam and Secularism’ dan ‘The Concept of Education in Islam’ yang seterusnya menjadi asas pembangunan konsep pengislaman ilmu dan pembangunan institusi-institusi Islam, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.
Mereka semuanya juga bersaudara, malah berkait rapat dengan Kerabat Diraja Johor. Walaupun saya sebutkan dua nama sahaja iaitu Almarhumah Tun Rahah dan Almarhum Ungku Aziz yang baru sahaja meninggalkan kita, kita juga sebenarnya terhutang budi kepada seluruh generasi mereka.
Saya menyeru agar Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negara seluruhnya, bagi pihak negara Malaysia ini, agar kita dapat merakamkan setinggi-tinggi perhargaan kepada Almarhum Ungku Aziz, Almarhumah Tun Rahah serta generasi mereka atas segala sumbangan yang tidak terperi dengan kalimah semata-mata kepada kemakmuran dan perpaduan negara.
Tanpa mereka, Malaysia yang hari ini tiada. Maka wajarlah agar jasa mereka diabadikan oleh Dewan yang mulia ini untuk tatapan dan ingatan anak watan sepanjang zaman.
Sekian, terima kasih.
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Machang
Machang, Kelantan Darul Naim
Leave a Reply