Ahli Parlimen Machang | Ketua ARMADA Nasional

From the Office of Wan Ahmad Fayhsal

Di mana letaknya nilai ‘kegunaan’ sesuatu ilmu?


Thursday, Oct 07

1. Baru-baru ini, telah tular sebuah isu berkenaan pendidikan negara. Telah berlegar sebuah pendapat yang agak menarik berkenaan tempoh pengajian mahasiswa di universiti tempatan yang dikatakan lebih panjang berbanding universiti di negara-negara seperti UK, Australia dan Singapura.

2. Menurut pendapat ini juga, jika kita gugurkan beberapa subjek ‘kurang relevan’, mahasiswa kita boleh tamatkan pengajian mereka lebih awal, seterusnya boleh terus menceburi pasaran kerja. Sungguhpun cadangan ini dapat diterima baik oleh sesetengah pihak, sebagai rakyat yang prihatin tentang masa depan negara, saya memilih untuk berbeza pendapat.

3. Pertamanya, perbandingan yang dibuat adalah tidak setara. Seorang pelajar perundangan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) perlu menghabiskan 2 tahun di peringkat asasi dan 4 tahun di peringkat sarjana muda. Walau bagaimanapun, mereka tidak perlu mendapatkan Sijil Amalan Guaman (Certificate of Legal Practice atau CLP).

4. Manakala pelajar perundangan yang menuntut di UK pula perlu melengkapkan 2 tahun pengajian A-Level, 3 tahun untuk mendapatkan ijazah sarjana muda, kemudian perlu menduduki peperiksaan CLP sebelum menceburi amalan guaman. Secara kasarnya, tidak ada sebarang perbezaan yang ketara di sini.

5. Dalam contoh lain pula, kursus sarjana muda kejuruteraan di UK juga memerlukan 2 tahun A-Level dan tiga tahun prasiswazah. Manakala selepas setahun program matrikulasi, seorang pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memerlukan 4 tahun untuk mendapat ijazah yang sama. Ini selari dengan konteks Australia dan New Zealand. Sekali lagi, tiada perbezaan yang ketara.

6. Kedua, usul bahawa dengan menggugurkan beberapa subjek wajib – contohnya TITAS, Pengajian Malaysia dan Hubungan Etnik yang semuanya adalah subjek kemanusiaan – masa yang dijimatkan boleh ditumpukan kepada subjek yang lebih relevan, sekaligus membolehkan mereka menamat pengajian dengan lebih cepat.

7. Pun begitu, melainkan jika jumlah jam kredit pengajian dikurangkan, mahasiswa kita tetap perlu mengambil subjek lain. Bezanya, pilihan mereka akan menjadi lebih terhad kerana banyak subjek yang telah ‘dibuang’. Justeru, hujah ini tidak boleh digunapakai.

8. Ketiga, adalah salah untuk menganggap bahawa subjek-subjek kemanusiaan tidak relevan, tidak mempunyai impak, atau tidak menawarkan nilai dalam proses pendidikan untuk mahasiswa kita.

9. Kita ambil contoh pelajar-pelajar di alma mater saya, King’s College London. Kami digalakkan untuk melengkapkan Associate of King’s College London (AKC), sebuah siri syarahan berasaskan penyelidikan yang bertujuan mempromosikan aktiviti renungan terbuka terhadap persoalan-persoalan etika dan falsafah. Ini perlu dibuat selari dengan kursus hakiki mereka.

10. Adalah menjadi kebiasaan untuk universiti-universiti di UK mewajibkan pelajar-pelajar mereka mengambil subjek-subjek yang ‘tidak berkenaan’ seperti subjek-subjek kemanusiaan dan bahasa untuk memperluas perspektif masing-masing. Penuntut di Oxford dan Cambridge sebenarnya lebih terbeban oleh dengan pendekatan mencapah universiti dalam mana-mana subjek. Universiti-universiti di Amerika Syarikat pula adalah jauh lebih terbuka dalam penawaran subjek-subjek elektif yang mungkin kita anggap di luar bidang pengajian.

11. Tambahan lagi, pelajar-pelajar juga digalakkan untuk meneroka minat di luar dunia akademik. Selain daripada program latihan industri yang biasanya tidak wajib, mereka digalakkan untuk berkelana atau melancong, bekerja separuh masa, menjadi sukarelawan dan terlibat dalam lain-lain aktiviti. Peminat-peminat rancangan The Crown di Netflix mungkin maklum bahawa Putera Charles mengambil kursus lakonan ketika menuntut di Universiti Cambridge.

12. Berapa ramaikah dalam kalangan kita – baik dalam dunia akademik mahupun industri – yang berani menohmah bahawa institusi-institusi ternama seperti di atas sengaja ‘membazirkan’ masa semua pihak dengan menggalakkan para pelajar untuk mempelajari falsafah, lakonan pentas dan bahasa Latin? Mungkin tak ramai!

13. Keempat, kita perlu membezakan antara pendidikan dan pembangunan kemahiran. Para pemikir ulung seperti Kardinal John Henry Newman dan ilmuwan negara Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas telah lama menegaskan bahawa universiti dibina dengan tujuan untuk mengasah akal, menjadi sumbu pemajuan ilmu, serta menyediakan pendidikan yang membentuk sahsiah sempurna, bukan kilang yang menghasilkan pekerja. (The Guardian, 2010)

14. Jika kita mahu lahirkan pekerja berkemahiran, kita perlu melabur dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), sepertimana yang sedang diusahakan sekarang. Kita juga perlu membina kerangka pendidikan yang lebih modular dan anjal, menggalakkan penawaran ijazah mikro, serta mengembangkan CPD (continuing professional development).

15. Akhir sekali, banyak kajian telah menunjukkan bahawa subjek-subjek kemanusiaan mampu menawarkan nilai yang hakiki kepada mahasiswa. Robbert Dijkgraaf, pengarah Institut Kajian Lanjutan di Universiti Princeton berpendapat bahawa disiplin kemanusiaan mampu menyediakan tapak yang subur untuk membentuk masyarakat yang terdiri daripada bijak pandai dan negarawan.

16. Pendirian ini selari dengan idea yang telah diperjuangkan sejak tahun 1940-an oleh Abraham Flexner dalam ‘The Usefulness of the Useless Knowledge’ (1939) dan Mortimer Adler dalam ‘Paideia Proposal: An Educational Manifesto’ (1982).

17. Bahkan dalam dunia STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), kemahiran-kemahiran yang kini dianggap amat penting seperti pemikiran kritis, pertimbangan kuantitatif dan kualitatif, kerjasama berkumpulan dan penyelesaian masalah sebenarnya mampu dipupuk dengan lebih berkesan melalui pengajian dalam bidang kemanusiaan. (The Washington Post, 2017)

18. Amatlah membimbangkan bilamana World Index of Moral Freedom 2020 meletakkan Malaysia di tangga ke-129 dalam tingkatan moral mereka. Ini adalah kedudukan yang begitu rendah dan amat mengaibkan. Sebagai sebuah negara yang berhempas pulas dalam pencarian diri dan kini turut mendambakan kestabilan politik, jelas bahawa kita perlu lebih mahir dalam bidang kemanusiaan.

19. Benar, kita perlu menyemak semula kerangka subjek kemanusiaan yang ada hari ini. Subjek yang berulang-tindih sejak sekolah menengah pasti boleh digugurkan. Kita juga wajar untuk meningkatkan pelaburan dalam bidang STEM. Namun begitu, kita tidak boleh ambil pendekatan acuh tak acuh sehingga yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

20. Justeru, jika ditanya adakah kita perlu lebihkan atau kurangkan tumpuan terhadap bidang kemanusiaan, jawapan saya ialah ‘perlu’! Namun saya hentikan sahaja di situ. Mungkin kita boleh bincangkan soal rombakan semula sistem pendidikan yang lebih menyeluruh di hari yang lain.

Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal
06 Oktober 2021

NOTA PENAFIAN: Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendapat atau pendirian mana-mana pihak lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2023 © Wan Fayhsal

Pusat Khidmat Ahli Parlimen Machang
Machang, Kelantan Darul Naim